Ad Banner
 AM > BERITA

Liputan Vaksin Menerusi MR SIA Di Melaka Capai 49.2 Peratus

13/08/2025 09:30 PM

MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Liputan penerimaan vaksin melalui Aktiviti Imunisasi Tambahan Vaksin Measles-Rubella (MR SIA) telah mencapai 49.2 peratus daripada keseluruhan 46,500 kanak-kanak di Melaka yang layak menerima imunisasi itu dalam tempoh 10 hari sejak 4 Ogos lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pencapaian itu menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada ancaman penyakit demam campak atau rubela.

"Sejak program imunisasi tambahan ini dilaksanakan, sebanyak 22,879 daripada 46,500 kanak-kanak di Melaka telah menerima vaksin MR dan MMR tersebut.

"Program ini akan terus dijalankan selama 10 minggu bermula 4 Ogos dan ibu bapa diingatkan agar segera mendapatkan vaksin ini secara percuma di klinik kesihatan berhampiran menerusi janji temu di aplikasi MySejahtera, secara jumpa terus atau yang telah ditetapkan klinik kesihatan," katanya kepada pemberita selepas program pemberian vaksin itu di Klinik Kesihatan Desa Paya Rumput di sini hari ini.

Pada program itu, beliau turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Datuk Rais Yasin membawa anaknya mendapatkan vaksin tambahan berkenaan.

Ngwe berkata sebanyak tiga fasiliti kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Jasin, Klinik Kesihatan Peringgit dan Klinik Kesihatan Alor Gajah menawarkan perkhidmatan pemberian vaksin hingga 9.30 malam.

Beliau berkata selain itu, terdapat klinik kesihatan yang menawarkan pemberian imunisasi itu pada Sabtu dan Ahad selain dua pusat pemberian vaksin turut dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa dan SK Durian Tinggal bagi melancarkan inisiatif itu.

Ngwe yakin sasaran lebih 95 peratus liputan penerimaan vaksin tambahan itu dalam kalangan kanak-kanak di negeri berkenaan akan tercapai menjelang akhir tempoh pelaksanaan MR SIA, sekali gus memastikan populasi kanak-kanak terlibat mendapat imuniti menyeluruh terlaksana.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada menerima vaksin tambahan itu," katanya.

Sementara itu, Rais berkata lebih 400 daripada kira-kira 700 kanak-kanak yang direkodkan di bawah seliaan dan penjagaan Klinik Kesihatan Paya Rumput telah mendapatkan vaksin tambahan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan