Dua Suspek Samun Solo Ditahan Polis Di Melaka

14/08/2025 08:09 PM

MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dalam dua kes berasingan membabitkan cubaan samun bersenjata dan samun solo di sekitar Melaka Tengah di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai cubaan samun bersenjatakan parang panjang di sebuah pasar mini 24 jam di Jalan Tun Sri Lanang pada 2 Ogos lepas, kira-kira 11.15 malam.

"Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun tidak jauh dari lokasi kejadian. 

"Turut dirampas ialah sebilah parang panjang berukuran kira-kira 59 sentimeter dan siasatan awal mendapati suspek baharu keluar penjara pada Februari lepas dan memberi alasan terpaksa melakukan kegiatan itu kerana dua hari tidak makan," katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Christopher berkata pihaknya turut merampas sebuah motosikal, topi keledar, beg silang dan beberapa barangan lain.

Katanya suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan dipercayai merupakan seorang gelandangan di Bandar Melaka selain mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah. 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki bersama teman wanitanya disamun seorang lelaki di tepi jalan di kawasan Pantai Puteri, Tanjung Kling 29 Julai lepas kira-kira 3.50 pagi

Christopher berkata hasil risikan, polis berjaya menahan suspek berusia 20 tahun pada 12.30 malam 5 Ogos selain turut merampas sebuah motosikal bernombor pendaftaran yang disahkan palsu, topi keledar dan satu telefon bimbit.

"Siasatan juga mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes curi motosikal yang dilaporkan hilang sehari sebelum tangkapan dibuat selain terlibat dalam kecurian sebuah telefon bimbit di sebuah surau di Tanjung Kling," katanya.

"Hasil semakan didapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan samun, pecah rumah, curi serta kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama serta Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan