Ad Banner
 AM > BERITA

Setahun ARPA: 'Mindset', Kerjasama Dan Jaringan Antara Cabaran Utama - KSN

14/08/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Setahun selepas perlaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), perubahan ‘mindset’ atau set minda, pengukuhan kerjasama dan perluasan jaringan antara cabaran utama dihadapi dalam usaha mengukuhkan sektor itu, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata tiga cabaran itu hasil penelitian dan pengamatan sepanjang melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan sektor berkenaan sejak tahun lepas, sebaik menggalas amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 12 Ogos. 

Merujuk cabaran ‘mindset’, Shamsul Azri dalam prakata Setahun Reformasi, Segenggam Aspirasi Ketua Setiausaha Negara, Kad Laporan Pencapaian Setahun Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2025 berkata ia merujuk kepada sikap dan minda untuk melaksanakan reformasi.

Complacency atau sikap mudah berpuas hati dengan apa yang ada ialah musuh utama kepada minda reformasi. Cabarannya adalah untuk membawa seluruh perkhidmatan awam menuju aspirasi Malaysia MADANI dengan mindset untuk melakukan reformasi.

“Kerjasama pula senjata ampuh yang mempercepat pelaksanaan reformasi berteraskan pendekatan associated & integrated melibatkan perkhidmatan awam, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta,” katanya. 

Berkenaan dengan cabaran jaringan, beliau berkata perluasan itu antara persekutuan dan negeri telah diterjemahkan menerusi “Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam” yang ditandatangani olehnya dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri pada 23 Nov lepas. 

Beliau berkata kesemua cabaran dan prakarsa besar ini tidak sekadar menongkah arus kelaziman, tetapi membawa bersama seluruh sinergi dan kekuatan anggota perkhidmatan awam untuk terus memacu reformasi perkhidmatan awam menuju impian dan cita-cita Malaysia MADANI.

Hasil agenda reformasi perkhidmatan awam itu dapat dilihat apabila pencapaian Malaysia diiktiraf di persada dunia, dengan lonjakan berganda dalam Daya Saing Dunia IMD daripada tangga ke-34 kepada ke-23 pada 2025.

“Tanggal 12 Ogos 2024 ialah tarikh penuh keramat apabila amanah dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Setiausaha Negara telah digalas genap setahun pada 12 Ogos 2025. Setahun pencapaian bukan bermakna sekadar meraikan.

“Lebih daripada itu, ia untuk muhasabah dan membuat refleksi serta menambah baik segala perancangan dan tindakan yang telah direncana sejak setahun lepas. Saya optimis dan yakin, tahun kedua reformasi perkhidmatan awam akan terus kita lakari dengan pelbagai kisah dan episod kejayaan baharu yang lebih cemerlang,” katanya. 

Dalam mengukuhkan perkhidmatan awam, ARPA  menekankan lima teras keberhasilan reformasi, iaitu penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi awam serta swasta.

Sebanyak 38 inisiatif dilaksanakan bagi melaksanakan lima teras itu, dan setakat ini 13 inisiatif telah selesai mengikut sasaran jangka masa pendek, manakala 25 inisiatif sedang dalam pelaksanaan.

Sementara itu, kerajaan berhasrat untuk memudahkan urusan pentadbiran lebih lancar dan efisien dengan menghapuskan halangan birokrasi yang tidak perlu menerusi penggubalan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM), membantu mengurangkan kerenah birokrasi yang sering membebankan rakyat dan komuniti perniagaan.

RUU ILTIZAM yang kini dalam fasa pemurniaan garis panduan selepas diwartakan pada 22 Mei lepas, bertujuan meningkatkan keseragaman dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, menjadikannya lebih mudah diakses dan mesra pengguna, khususnya dalam kalangan komuniti perniagaan.

“Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 ialah sejarah baharu yang terlakar apabila komitmen tinggi melaksanakan reformasi dimanifestasi melalui perundangan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan