Ad Banner
 AM > BERITA

GETB Tawar i-Medi Evolusi Rider, Perlindungan Menyeluruh

14/08/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melancarkan i-Medi Evolusi Rider, rider perubatan terbaharu yang direka khas, menawarkan perlindungan bagi menyokong setiap peringkat rawatan bermula lawatan awal ke klinik, kemasukan ke hospital hingga rawatan kecemasan.

GETB dalam kenyataan memaklumkan di bawah rider berkenaan, mereka yang memerlukan rawatan segera boleh mendapat konsultasi dan rawatan pantas menerusi penilaian awal di semua klinik panel di bawah rangkaian The Great Journey Clinic.

Menurut syarikat itu, 95 peratus bil rawatan akan ditanggung sekiranya mereka didiagnosis dengan antara lapan penyakit dilindungi termasuk Demam Denggi, Virus Zika, Demam Chikungunya, Influenza A & B, Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), Bronkitis dan Pneumonia.

“Manfaat pesakit luar ini menjadikan pelan ini unik, kerana perlindungan sebegini jarang ditawarkan dalam pelan kad perubatan biasa, sekali gus memberikan ketenangan dan sokongan tambahan kepada pelanggan ketika mereka amat memerlukannya,” menurut syarikat itu.

Bagi kemasukan ke hospital, GETB berkata pesakit akan dirujuk ke fasiliti perubatan di bawah The Great Journey Hospital dengan kos rawatan akan ditanggung mengikut Had Tahunan Keseluruhan yang ditetapkan dalam pelan perubatan.

“Proses lancar daripada rawatan pesakit luar sehingga kemasukan ke hospital ini memastikan para pelanggan menerima penjagaan kesihatan dan sokongan kewangan di sepanjang proses rawatan,” menurutnya.

Bagi situasi kecemasan seperti serangan jantung, syarikat itu berkata pelanggan akan dibawa terus ke bahagian kecemasan hospital dengan caj bayaran bersama dan deduktibel akan dikecualikan sepenuhnya, membolehkan pelanggan menerima perlindungan penuh tanpa sebarang bayaran tambahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman dipetik sebagai berkata pihaknya percaya sesuatu pelan perlindungan harus mudah, telus dan penuh empati dan ia menjadi matlamat utama pihaknya dengan pelancaran i-Medi Evolusi Rider.

“Kami ingin pelanggan berasa yakin untuk mendapatkan rawatan awal sebelum sesuatu keadaan menjadi lebih serius dan memerlukan kemasukan ke hospital,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata i-Medi Evolusi Rider menggalakkan perlindungan kesihatan yang mampan dengan menggalakkan penggunaan kad perubatan secara bertanggungjawab, memastikan manfaat hospital sepenuhnya digunakan untuk situasi kecemasan dan keperluan perubatan yang wajar selain menyediakan perlindungan pesakit luar.

“Di samping perlindungan kewangan, rangkaian The Great Journey Hospital turut menawarkan pelbagai keistimewaan eksklusif yang memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan.

“Ia termasuk pengecualian deposit dan caj pentadbiran, urusan pantas untuk kanak-kanak, perkhidmatan Great Assist, serta layanan prihatin seperti bakul hadiah percuma, semuanya disediakan khas buat pelanggan demi rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih lancar dan selesa,” katanya.

Sempena pelancaran itu, Great Eastern Takaful turut melancarkan kempen selama sebulan yang menawarkan pelanggan empat kali ganda Had Tahunan Keseluruhan sehingga RM8 juta, sebagai tanda komitmen terhadap perlindungan menyeluruh dan inklusif.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rider i-Medi Evolusi, sila layari www.greateasterntakaful.com atau hubungi perunding takaful untuk bantuan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan