TAWAU, 14 Ogos (Bernama) -- Hospital Tawau bakal menjadi pusat rujukan rawatan kardiologi di pantai timur Sabah dengan pengoperasian Makmal Invasif Kardiologi (ICL) tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ekosistem lengkap termasuk infrastruktur bagi pengoperasian makmal itu sudah dikenal pasti dan akan dibekalkan segera.
“Tender akan dikeluarkan dalam sebulan atau dua lagi. ICL akan menawarkan perkhidmatan rawatan jantung seperti angiogram, angioplasti dan pelbagai prosedur lain,” katanya selepas melawat Hospital Tawau di sini, hari ini.
Menurutnya pesakit serangan jantung di pantai timur Sabah kini terpaksa dirujuk ke Kota Kinabalu, sekali gus menyebabkan kelewatan rawatan serta meningkatkan risiko komplikasi.
Dengan adanya ICL, masa rawatan kritikal seperti tempoh dari saat pesakit tiba di hospital sehingga ujian elektrokardiogram (ECG) dilakukan diharap dapat dikurangkan kepada kira-kira 10 minit, manakala bagi prosedur angioplasti pula kurang daripada 90 minit.
“Ini satu perkhidmatan kardiologi yang sangat baik, pantas, dan amat dinantikan penduduk Sabah, khususnya di pantai timur,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly memuji inisiatif Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah yang membantu menghantar ubat dari Klinik Kesihatan Merotai Besar, Kalabakan, terus ke rumah pesakit menggunakan motosikal.
Beliau berkata usaha NGO itu melengkapi perkhidmatan sedia ada, termasuk program penghantaran ubat menggunakan dron bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini.
Lawatan kerja intensif Dzulkefly selama tiga hari ke 22 fasiliti kesihatan di enam daerah Sabah berakhir hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial