ALOR GAJAH, 15 Ogos (Bernama) -- Isu tanah rizab kereta api di Pengkalan disni, yang tertangguh lebih 30 tahun, akhirnya selesai selepas kerajaan Melaka menyerahkan 47 Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) dan Notis 5A, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penyerahan dokumen itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memahami keperluan rakyat dan memastikan setiap dasar serta projek pembangunan memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat.
“Daripada jumlah itu, 45 permohonan membabitkan tanah rizab kereta api di Pengkalan yang tertangguh sejak tiga dekad lalu, termasuk dua plot untuk kuil.
“Turut menerima kelulusan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menempatkan pencawang elektrik di Plot 1, Mukim Kelemak, Daerah Alor Gajah, yang akan membekalkan tenaga kepada kawasan perumahan, komersial, hospital dan pejabat kerajaan, memberi manfaat kepada lebih 3,050 pengguna,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penyerahan PTK sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, yang turut dihadiri Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan.
Ab Rauf berkata pembinaan pencawang itu akan mempercepatkan proses pengagihan bekalan elektrik dan memastikan sistem bekalan lebih stabil.
Katanya sepanjang tahun ini sebanyak 96 PTK diluluskan di daerah itu, disusuli pengeluaran Notis 5A oleh Pentadbir Tanah. Notis berkenaan adalah dokumen rasmi kelulusan permohonan tanah yang membolehkan geran hak milik dikeluarkan selepas pemohon mematuhi syaratnya.
“Di atas tanah inilah nanti akan terbina rumah baharu, halaman dipenuhi pokok bunga, anak-anak bermain dan keluarga berkumpul setiap hujung minggu. Nilainya bukan sekadar ukuran kaki persegi, tetapi ruang membina kehidupan dan mewariskan keamanan kepada anak cucu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengenakan premium tanah lebih rendah daripada harga pasaran, antara RM9,000 hingga RM25,000 bergantung kepada keluasan, berbanding nilai pasaran yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit.
Selain itu, diskaun khas lima peratus diberikan kepada penerima Notis 5A yang melunaskan bayaran dalam tempoh tiga bulan, tertakluk kepada syarat tiada permohonan lanjutan tempoh atau rayuan pengurangan premium.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial