Ad Banner
 AM > BERITA

Usaha, Kesungguhan Meley Alug Realisasikan Impian Miliki Salun Rambut

15/08/2025 08:43 PM

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Kejayaan wanita Orang Asli suku kaum Temiar, Meley Alug memiliki salun rambut sendiri membuktikan usaha dan kesungguhan akan membuahkan hasil. 

Bermula dengan menyediakan perkhidmatan salun bergerak dari rumah ke rumah, Meley, 36, kini berbangga dengan salun yang beroperasi di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini. 

Mengimbau kembali, Meley berkata cabaran terbesar ketika menyediakan perkhidmatan salun bergerak selama hampir 10 tahun adalah menenangkan anak sambil mendandan pelanggan yang ada kalanya boleh mengambil masa sehingga empat jam.

“Waktu itu anak masih kecil, jadi saya perlu memujuk dan menenangkan mereka sepanjang proses dandanan.

“Perniagaan saya mula berkembang selepas menerima bantuan peralatan seperti kerusi mencuci rambut, mesin pengering dan stim rambut daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dua tahun lepas,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia antara setahun hingga sembilan tahun itu berkata pelanggan boleh terus berkunjung ke rumahnya jika mahu mendapatkan perkhidmatan termasuk mencuci dan membuat rawatan rambut. 

Bijak merancang perniagaan, Meley turut mengatur strategi pemasaran dengan menawarkan promosi potongan harga sempena perayaan serta jaminan dandanan semula untuk menarik pelanggan.

Beliau, yang mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM150 bagi pelanggan dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, berkata mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan dan berharap dapat membuka salun di premis lebih selesa pada masa depan.

Meley berharap kejayaan membuka perniagaan sendiri dapat menjadi inspirasi kepada wanita Orang Asli untuk lebih berani memanfaatkan kemahiran dimiliki bagi memperoleh pendapatan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan