Oleh Amanina Mohamad Yusof
PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus memperkasa peranan pendidikan keselamatan kebakaran dengan memberi penekanan kepada prinsip 'mencegah lebih baik daripada mengubati', menerusi penglibatan aktif dalam komuniti dan program berstruktur melibatkan pelbagai lapisan usia.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata program kesedaran kebakaran dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi kanak-kanak seawal usia lima tahun hingga ke peringkat dewasa, dengan pendekatan berfasa dan berasaskan komuniti.
“Untuk kanak-kanak, kita mula dengan Kelab Bomba Cilik bagi umur lima hingga enam tahun. Mereka diberi pendidikan asas keselamatan kebakaran dan pendedahan awal mengenai bahaya air, memandangkan JBPM juga merupakan sekretariat Majlis Keselamatan Aktiviti Air,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kesinambungan pendidikan diteruskan di peringkat sekolah menengah menerusi Kadet Bomba manakala di peringkat pengajian tinggi Briged Bomba ditubuhkan di 12 institusi yang menawarkan diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), serta Kor Siswa Bomba di tiga universiti awam.
“Apabila mereka ini terlibat sejak kecil, secara tidak langsung mereka menjadi sebahagian daripada ‘keluarga bomba’ dan ini membantu kita mendekati masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.
Nor Hisham berkata JBPM juga memberi perhatian kepada pendidikan keselamatan kebakaran di peringkat sekolah rendah menerusi pelancaran Bomba Junior.
“Sebelum ini tiada program seperti Kelab Bomba di peringkat sekolah rendah. Jadi tahun lepas kita lancarkan Bomba Junior dengan sasaran 16 pasukan dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan, kini kita sudah ada 273 pasukan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kelab itu berasaskan latihan asas seperti kawad disiplin yang diajar oleh anggota bomba dan guru selain memperkenalkan asas berenang sebagai kemahiran tambahan dalam keselamatan diri.
"Antara objektif dilaksanakan program kesedaran keselamatan oleh JBPM ialah bagi mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan kebakaran dan keselamatan diri semasa kecemasan.
"Ia juga untuk melatih masyarakat menjadi lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan secara kendiri sementara menunggu bantuan anggota penyelamat selain mendidik masyarakat bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya pihak berkuasa," katanya.
Nor Hisham berkata program kesedaran melibatkan masyarakat turut dilaksanakan melalui ceramah, pameran, latihan kebakaran serta inisiatif seperti '1 Rumah 1 Alat Pemadam Api' dan 'Sedia Urus Risiko Isirumah (SURI)', menjadikan lebih 12,000 program disasar dilaksanakan setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada bayaran dikenakan sekiranya orang awam atau mana-mana pihak ingin mengadakan program atau sambutan di balai bomba, kecuali sekiranya penggunaan dewan diperlukan.
“Kebanyakan mereka pilih buat di bay jentera kerana suasana itu lebih dekat dengan dunia bomba. Contohnya, sambutan hari jadi. Cuma makan minum kita tidak sediakan, tapi kalau mereka menggunakan dewan ada sedikit kadar sewa yang dikenakan.
"Bila ada program komuniti diadakan di kawasan balai bomba di bawah inisiatif Community Fire Learning Centre (CFLC), kami akan minta penganjur beri kami masa 15 minit untuk kami berkongsi berkenaan taklimat atau pendidikan pencegahan kebakaran," katanya.
Nor Hisham berkata pendekatan di bawah inisiatif CFLC umpama serampang dua mata oleh JBPM kerana selain mendekatkan pihak bomba dengan masyarakat, ia juga mencerminkan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat yang ditawarkan melalui jabatan itu.
"Sebagai satu daripada agensi kerajaan, kami menggunakan peluang dan ruang ini untuk memberi naratif yang positif kepada masyarakat mengenai perkhidmatan kerajaan.
"Program seperti ini juga dapat memupuk minat anak-anak untuk menjadi bomba kerana ia memberi inspirasi awal kepada anak-anak untuk memahami kerjaya sebagai anggota bomba selain membentuk memori dan kenangan yang bermakna kepada mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial