ALOR GAJAH, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka komited memastikan kemudahan pendidikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia terus diperkasa menerusi pembinaan beberapa bangunan berkaitan institusi berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembinaan itu antaranya membabitkan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah bernilai RM15.9 juta dan Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin berjumlah RM15.8 juta.
"Menyedari kepadatan pelajar di kawasan ini, kerajaan negeri juga telah mengusulkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan baharu ke peringkat kerajaan Persekutuan.
"Insya-Allah, kita akan berusaha memastikan ia tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia serta Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Melaka di Dataran Keris di sini malam ini.
Hadir sama Penyelaras DUN Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.
Ab Rauf berkata pada masa sama, kerajaan negeri turut bersetuju untuk membina Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Rembia dan Tadika Kampung Sungai Petai sebagai projek pembangunan berimpak tinggi bagi tahun hadapan.
Beliau berkata JAIM juga memperuntukkan lebih RM90,000 bagi kerja naik taraf dua SRA JAIM di DUN Rembia dan Sekolah Menengah Arab Al-Faizin di Jelatang.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM8.6 juta melalui Jabatan Kesihatan Melaka bagi menaik taraf Dewan Bedah Kedua di Hospital Alor Gajah, yang dijangka siap pada April 2026.
"Selain itu, struktur bumbung Klinik Ibu dan Anak di Klinik Kesihatan Alor Gajah juga telah diluluskan untuk pembaikan dengan kos RM1.4 juta manakala RM435,000 bagi kerja-kerja membaiki kerosakan akibat kulat di Klinik Kesihatan Rembia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial