Ad Banner
 AM > BERITA

Busana Tradisional Serikan Larian Hari Kebangsaan IKM Besut

17/08/2025 03:09 PM

JERTIH, 17 Ogos (Bernama) -- Program larian bertemakan “Busana Tradisional” anjuran Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut di sini hari ini memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Pengarah IKM Besut Abdul Athar Ibrahim berkata institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu melakar sejarah tersendiri apabila lebih 600 peserta Program Santai Merdeka: Fun Run & Fun Ride itu memakai busana klasik dan tradisional. 

“Sebanyak 651 warga IKM Besut terdiri daripada 103 petugas dan 548 pelajar menyertai program larian ini.

“Peserta berlari dan mengayuh basikal mengelilingi kampung dengan berpakaian tradisional Melayu seperti baju kurung, baju Melayu, kain batik dan ada yang bertanjak,” katanya kepada pemberita selepas program itu.

Beliau berkata program itu mampu menyemai semangat patriotisme, menghayati keindahan alam sekitar serta menonjolkan identiti budaya dan bangsa dalam jiwa pelajar. 

“Selain semangat kemerdekaan, kami juga ingin menguar-uarkan peranan IKM Besut sebagai hab TVET unggul kepada masyarakat,” katanya sambil menambah hadiah turut disediakan kepada peserta lelaki dan wanita yang memperagakan busana tradisional terbaik.

Sementara itu, Abdul Athar berkata IKM Besut akan mengorak langkah baharu dalam industri TVET dengan pembinaan sebuah stesen kereta elektrik (EV) di institusi terbabit menjelang akhir tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna EV di sekitar Besut.

Beliau berkata IKM berkenaan juga akan menerima sebuah EV bagi kegunaan latihan pelajar Diploma Teknologi Automatif tahun depan seiring dengan perkembangan industri automobil.

"Pada tahun ini IKM Besut turut menerima kemasukan 12 pelajar lepasan sekolah tahfiz melalui program TVET Tahfiz dan merupakan kemasukan kumpulan pelajar kedua selepas kumpulan pertama pada 2021 melibatkan 14 pelajar,” katanya.

Melalui program berkenaan, katanya lepasan tahfiz yang telah menghafaz lima juzuk dan ke atas berpeluang meneruskan pendidikan dalam bidang Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara selama tiga tahun.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan