KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 863 belia dari Kota Kinabalu dan Labuan berjaya dihimpunkan pada program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 1 di Kampung Tagaroh, Kota Marudu, Sabah selama tiga hari berakhir hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang turun padang menyempurnakan program itu berkata Kembara JOM adalah langkah memperkukuh agenda pemerkasaan belia luar bandar.
Beliau berkata dapatan daripada program itu akan menjadi input penting dalam merangka gerak kerja pembangunan belia negara.
“Kembara JOM berperanan sebagai platform untuk pemprofilan belia luar bandar, penubuhan persatuan baharu, galakan penyertaan belia serta pelaksanaan kajian sosioekonomi dan keperluan belia setempat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adam Adli berkata sebanyak RM31,710 telah disalurkan melalui pelbagai agensi untuk penduduk Kampung Tagaroh, yang akan dimanfaatkan 10 keluarga dan komuniti setempat termasuk lampu solar sempena program itu.
Beliau berkata pengisian program Kembara JOM 2.1 Zon Borneo 1 merangkumi sesi dialog awam bersama timbalan menteri melibatkan 863 belia, program anak angkat dan aktiviti kesukarelawanan.
Aktiviti lain termasuk program pembangunan kepimpinan belia, keusahawanan sosial dan advokasi Nilai Teras Malaysia MADANI.
Kembara JOM edisi Borneo dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut terlibat Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRS), IMPACT Malaysia dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial