PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan jentera kerajaan supaya berhati-hati dengan fenomena "AI Productivity Paradox" dalam pelaksanaan transformasi digital negara.
Beliau berkata risiko "AI Productivity Paradox" merujuk kepada situasi pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi yang tidak semestinya meningkatkan produktiviti.
"Saya harap (AI Productivity Paradox) diberikan perhatian khusus di Kementerian Digital, Komunikasi dan ketua-ketua jabatan, kita tak mahu jadi (berlaku) apa yang dikatakan 'trough of disillusionment' kerana andaian yang dibuat dengan dana besar (bagi) seluruh program digital transformasi dan AI ini mencecah puluhan bilion ringgit untuk lima tahun akan datang," katanya.
‘Trough of disillusionment’ merujuk kepada satu fasa dalam kitaran penggunaan teknologi baharu apabila jangkaan yang tinggi pada awalnya tidak tercapai, lalu menimbulkan kekecewaan, keraguan serta penurunan keyakinan terhadap teknologi itu sebelum ia mencapai tahap kematangan sebenar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti soal tadbir urus data, cabaran integrasi dan cabaran teknologi maklumat (IT) serta AI dari sudut penilaian hasil.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial