MIRI, 18 Ogos (Bernama) -- Pembinaan viaduct atau jejambat Bukit Song sepanjang 300 meter di bawah Pakej WPC 11, Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka siap lebih awal berbanding jadual, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Pada semalam, beliau telah melakukan tinjauan dan mendengar taklimat mengenai pembinaan jejambat yang terpaksa dilaksanakan berikutan keadaan tanah di kawasan berkenaan tidak sesuai untuk tambakan.
Dalam satu catatan di Facebook, beliau berkata faktor itu telah menyebabkan berlaku sedikit kelewatan dalam keseluruhan pembinaan LPB Sarawak.
“Namun begitu, pembinaan viaduct ini yang sepatutnya dijadualkan siap pada Oktober, dijangka disempurnakan bulan depan. Ini sekali gus akan melengkapkan pembinaan lebuh raya ini sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Sarawak,” katanya.
Pakej WPC 11 adalah yang terakhir daripada 11 pakej pembinaan LPB Sarawak.
Beliau turut meninjau kerja-kerja naik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer serta penukaran paip baharu Sarawak Water Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai LAKU), yang dilaksanakan selepas berlakunya paip pecah sebelum kerja pembinaan bermula.
“Walaupun terdapat sedikit kelewatan, kerja tambahan ini wajar dilakukan bagi memastikan bekalan air di Bandaraya Miri tidak terjejas dan jalan yang dibina kelak tidak berisiko rosak pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi JKR Sarawak akan memastikan libat urus berterusan antara kumpulan projek dan kontraktor serta pemantauan rapi dilakukan secara berkala supaya projek berkenaan berjalan lancar dan siap mengikut jadual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial