GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila muncul juara Kategori Rekaan Cincin pada Anugerah Rekaan Barang Kemas sempena Pameran Penang Signature Gold, Gems and Jewellery (PSG 2025), semalam.
Nurul Anis Syahirah Mohd Nasri, 23, pelajar Sarjana Muda Senireka Teknologi Barang Kemas dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka menewaskan peserta lain dari seluruh dunia sekali gus muncul pemenang tunggal dari Malaysia untuk kategori pelajar.
UiTM turut berbangga apabila sembilan lagi pelajarnya berjaya menjadi finalis dalam pelbagai kategori pada pertandingan berprestij itu yang melibatkan rekaan kalung, gelang, cincin dan subang.
"Pertandingan berprestij berkenaan menampilkan empat kategori utama, dengan penyertaan peserta dari seluruh dunia termasuk Institut Kraf Negara (IKN) dan Raffles College," menurut kenyataan UiTM hari ini.
UiTM menyifatkan kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan universiti berkenaan sebagai peneraju pendidikan industri kreatif negara sekali gus membuktikan komitmen melahirkan pereka barang kemas profesional yang mampu bersaing di pasaran global melalui inovasi, seni dan kepakaran teknikal.
"Ia seterusnya membuka laluan kerjaya yang luas untuk para graduan dalam bidang berkenaan," menurut kenyataan itu.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam Prof Madya Dr Azhar Abd Jamil pada acara anjuran Elite Expo Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Tukang Emas dan Peniaga Barang Kemas Pulau Pinang (PGJA) serta Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM, di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas.
PSG 2025, pameran perdagangan emas terbesar di Asia Tenggara yang berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos itu menarik lebih 5,000 pelawat perdagangan dan delegasi profesional dari seluruh dunia.
Pameran itu menyaksikan lebih 120 gerai pameran mewakili lapan negara termasuk United Kingdom, Turkiye, China, Thailand, Singapura, India, Jepun dan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial