Ad Banner
 AM > BERITA

Amalan Kitar Semula Kurangkan 30 Peratus Jumlah Pelupusan Sampah Di Kelantan

18/08/2025 04:30 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Amalan kitar semula mampu mengurangkan hampir 30 peratus jumlah sampah yang dilupuskan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah.

Beliau berkata amalan itu juga mengurangkan kos pihak berkuasa tempatan (PBT), selain memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah antaranya di Beris Lalang, Bachok.

"Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Panji dan Kubur Maras yang beroperasi melalui peruntukan program Sejati MADANI oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM100,000 juga memudahkan masyarakat menghantar barangan untuk dikitar semula.

"Ia juga boleh menjana pendapatan sampingan kepada warga Kota Bharu, selain memberi kemudahan kepada penduduk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran DTRC di sini hari ini.

Hilmi berkata program berkonsep mesra pengguna itu diharap dapat diperluaskan ke semua jajahan di Kelantan seiring hala tuju Dasar Kebersihan Negara untuk menyediakan pusat kitar semula di taman perumahan, kawasan komersial dan institusi pendidikan.

Beliau berkata bagi meningkatkan kadar kitar semula sehingga 40 peratus menjelang 2025 sebagaimana sasaran kerajaan, penyertaan setiap anggota masyarakat perlu bermula di peringkat rumah untuk memastikan amalan pengasingan sampah ini menjadi sebahagian daripada rutin harian.

"Tahun lepas DTRC di pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Panji telah merekodkan 6,382 kilogram (kg) barangan yang boleh dikitar semula, manakala di Kubur Maras yang mula beroperasi Februari tahun ini mencatatkan 112 kg barangan kitar semula," katanya.

Sementara itu, Hilmi berkata kerajaan negeri masih meneruskan kajian mengenai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dengan satu kunjungan hormat ke Kedah dilakukan minggu lepas bagi mengenal pasti keberkesanan akta berkenaan.

  Sebelum ini kerajaan negeri secara dasar bersetuju membuka semula pintu rundingan selepas perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang Mac tahun lepas dengan tujuh negeri telah mengguna pakai akta berkenaan, iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan