Ad Banner
 AM > BERITA

212 Jeti Di Pangkalan Haram Sepanjang Sungai Golok Bakal Dirobohkan

18/08/2025 05:00 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 212 jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand telah dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi keselamatan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta memastikan kawalan sempadan lebih terjamin.

Beliau berkata empat jajahan yang terlibat ialah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli yang akan menubuhkan pasukan khas diketuai Pejabat Daerah dan dianggotai pelbagai pihak termasuk PTG, PBT, PGA, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Struktur haram yang dikenal pasti di tanah kerajaan dan juga tanah milik persendirian akan dirobohkan secara berperingkat.

"Sebelum tindakan perobohan dibuat, semakan kedudukan tanah akan dilaksanakan terlebih dahulu manakala notis akan dikeluarkan oleh pejabat tanah di jajahan terlibat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di PTG Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata bagi fasa pertama, perobohan melibatkan binaan di kawasan tanah milik kerajaan dan dilakukan mengikut setiap jajahan berkenaan.

Katanya, operasi tersebut membabitkan 128 jeti di dalam kawasan Op Taring Wawasan Kelantan di bawah PGA dan 84 kawasan di bawah kawalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Merpati.

"PGA akan memberikan bantuan penuh kepada PTG khususnya dari aspek keselamatan bagi memastikan usaha perobohan berjalan lancar, malah sasaran jawatankuasa adalah menyelesaikan kerja-kerja ini sebelum musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada bantahan diterima daripada penduduk setempat berkaitan tindakan yang bakal dilaksanakan itu.

"Dalam soal ini kebanyakan pihak tidak mengaku jeti berkenaan milik mereka berikutan ia dikategorikan sebagai struktur haram yang boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan