Ad Banner
 AM > BERITA

Johor Tubuh Jawatankuasa Khas Antibuli, Adakan Mesyuarat Hari Ini

18/08/2025 08:08 PM

JOHOR BAHRU, 18 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri menerusi Mesyuarat Penyelarasan Kempen Antibuli dan Tindakan dilakukan hari ini sebagai langkah agresif dan bersepadu dalam menangani isu berkenaan di sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata mesyuarat itu disertai pelbagai agensi serta jabatan berkaitan bagi menyusun strategi serta menetapkan pelan tindakan menyeluruh.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut mengemukakan cadangan bernas dan pelan gerak kerja komprehensif yang akan dilaksanakan melalui kempen berfasa serta program intervensi di semua institusi pendidikan, khususnya sekolah.

“Langkah ini diharap dapat memberi kesedaran, mendidik pelajar serta melibatkan seluruh ekosistem pendidikan termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Aznan berkata Johor menjadi negeri pertama menubuhkan jawatankuasa khas itu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri menjaga keselamatan serta kesejahteraan anak-anak Johor, selain memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk pembelajaran.

Beliau berkata isu buli bukan sekadar masalah kecil, sebaliknya perbuatan menggunakan kekuasaan atau kekerasan untuk menakutkan, menghina, mengganggu atau menyakiti orang lain sama ada secara fizikal, mental atau emosi, yang boleh menyebabkan kecederaan serta trauma mendalam terhadap mangsa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan