Ad Banner
 AM > BERITA

Laporan Kajian AI, Produktivi Pekerja Dibentang Dalam Mesyuarat STAR Petang Ini - KSN

18/08/2025 12:07 PM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) pada petang ini, antara lain akan membincangkan kajian United Nations University (Tokyo), McKinsey dan pengalaman JP Morgan berhubung peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan produktiviti pekerja.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff telah dipertanggungjawabkan untuk membentangkan laporan awal berhubung kajian universiti itu.

"Kita akan bincang dan dalam masa dua minggu, kita akan beri maklum balas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bersama Ketua Setiausaha Negara anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia.

Terdahulu, Anwar mengingatkan jentera kerajaan supaya berhati-hati dengan fenomena "AI Productivity Paradox" dalam pelaksanaan transformasi digital negara.

Risiko "AI Productivity Paradox" merujuk kepada situasi pelaburan besar dalam AI dan digitalisasi yang tidak semestinya meningkatkan produktiviti.

Merujuk kajian dan pengalaman berkenaan, hanya tiga hingga tujuh peratus daripada peningkatan penggunaan AI benar-benar memberi kesan kepada produktiviti atau pendapatan pekerja.

Anwar turut meminta Shamsul Azri dan semua ketua jabatan untuk meneliti perkara berkenaan dan memberi jawapan awal bagi menangani permasalahan berkenaan.

Mengenai program bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan itu, Shamsul Azri berkata ia antara inisiatif Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya.

"Program (kemerdekaan) ini berterusan dan kita galakkan semua unit dan jabatan melaksanakan program semarakkan bulan kemerdekaan dengan inisiatif sendiri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan