KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Awang Hashim diarah keluar dewan selama 10 hari bermula hari ini, susulan tindakannya mencetuskan kekecohan serta dakwaan aksi mencabar seorang Ahli Parlimen untuk bergaduh pada Rabu lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengeluarkan perintah itu berdasarkan Peraturan 44.2 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas meneliti bukti rakaman video dan audio berkenaan insiden berkenaan.
Beliau menyifatkan tindakan wakil rakyat pembangkang itu amat tidak baik dan kejadian itu berlaku ketika terdapat pelawat yang terdiri daripada pelajar sekolah yang menyaksikan insiden berkenaan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.
“Kenapa saya ambil tindakan kepada Pendang hari ini, kerana pertama, pada hari itu saya preside (mempengerusikan sidang) dan saya nampak apa yang berlaku. Yang kedua apa yang saya amat kecil hati, di galeri itu penuh dengan budak sekolah.
“Kita sedang bercakap bagaimana kelakuan anak-anak kecil kita di sekolah, tidak bersopan santun tetapi kita sendiri depan budak-budak kita tunjuk macam-macam, ia nampak tidak baik. Saya yakin Pendang juga ada cucu, bayangkan cucu tengok Tok Wan dia buat begitu,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat petang ini.
Johari turut menjelaskan tindakan wakil rakyat dari Kedah itu disifatkan menghina Dewan Rakyat.
Pada Rabu lepas, ketika sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berlaku perang mulut hingga mencetuskan kekecohan melibatkan beberapa Ahli Parlimen, sekali gus menimbulkan kemarahan Johari yang turut menyifatkan insiden itu sebagai amat memalukan.
Peraturan 44.2 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukan pengerusi hendaklah memerintah mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa Pengerusi keluar daripada Majlis Mesyuarat bagi tempoh tidak melebihi 10 hari dan ahli itu hendaklah dengan serta-merta keluar daripada Majlis Mesyuarat.
Dalam pada itu, Johari juga melarang mana-mana Ahli Parlimen menggunakan ungkapan ‘PAS sebagai parti ajaran sesat’ serta tindakan mengkafirkan mana-mana wakil rakyat ketika berada dalam dewan.
“Jangan ungkapkan perkataan yang mengguris hati, perasaan dan mencetuskan permusuhan. Kalau nak bercakap di luar dewan, itu bukan urusan saya.
“Sebaik anda semua masuk dalam dewan ini, jangan lagi guna perkataan-perkataan itu… cukuplah, ia tak beri manfaat pun dengan bermusuh-musuh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial