Ad Banner
 AM > BERITA

MTPMA63: Isu Pendidikan, Kesihatan Sabah Sarawak Sebahagian Besar Dipersetujui - Fadillah

18/08/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebahagian besar tuntutan berhubung isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat itu penting kerana ia merupakan persiapan bagi MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak pada 12 Sept ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, berkata bagi isu pendidikan, antara persetujuan yang dicapai ialah penglibatan kerajaan negeri dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, perkongsian maklumat perpindahan pegawai kanan dan penyaluran peruntukan bagi program pembangunan profesional.

"Bagi isu kesihatan pula, mesyuarat bersetuju dengan beberapa tuntutan termasuk peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan, pemberian kuasa autonomi kepada Pengarah Kesihatan Negeri dalam beberapa perkara serta pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata isu lain akan terus dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan.

Fadillah berkata pada mesyuarat itu juga, dua kertas makluman yang masing-masing dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan dibawa ke Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 untuk diputuskan.

“Tuntutan lain yang masih berlarutan akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 serta jawatankuasa kerja berkaitan di peringkat kementerian,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak termasuk beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai kanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan