Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Gesa Negara ASEAN Bergerak Secara Kolektif Untuk Pelihara Kestabilan Maritim Serantau - Mohamed Khaled

19/08/2025 12:36 PM

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyeru negara anggota ASEAN untuk bertindak secara bersepadu bagi menjaga kestabilan maritim serantau, sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh mendedahkan rantau ini kepada campur tangan luar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rantau ini tidak lagi boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menghadapi cabaran maritim yang semakin meningkat, dan beliau menggesa negara terlibat supaya bersedia untuk bekerjasama, bersama-sama berusaha mewujudkan masa depan maritim yang lebih terjamin.

"Jika ASEAN tidak bertindak sekarang, kestabilan maritim kita akan terjejas teruk. Kita tidak boleh membiarkan kedaulatan zon maritim kita jatuh ke tangan kuasa asing.

“Kita tidak boleh berdiam diri, tidak boleh berpecah belah dan pastinya tidak boleh terima ketidakstabilan Asia Tenggara, justeru apa yang kita perlukan adalah tindakan kolektif yang mengubah dialog menjadi tindakan, dan cita-cita menjadi pelaksanaan,” katanya dalam ucaptama pada perasmian Mesyuarat Panglima Tentera Laut ASEAN (ANCM) ke-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata cabaran dalam sektor maritim rantau ini menjadi semakin kompleks, merangkumi persaingan kuasa tradisional dan pertikaian wilayah kepada ancaman bukan tradisional seperti penangkapan ikan secara haram, pencerobohan siber dan kempen-kempen manipulasi maklumat.

Mohamed Khaled turut mengenal pasti tiga bidang keutamaan untuk memperkukuh rangka kerja kerjasama maritim ASEAN, menekankan keperluan untuk menegakkan pemusatan dan neutraliti blok itu di tengah-tengah tekanan luar yang semakin sengit, termasuk taktik zon kelabu, pencerobohan asing, paksaan maritim, dan penghakisan kedaulatan secara halus.

"Dalam menghadapi perkara ini, ASEAN mesti kekal sebagai peneraju ketenteraman maritim di rantau kita. Undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut), mesti menjadi asas dan kerjasama kita mesti diperkukuhkan," katanya.

Selain itu beliau berkata ASEAN mesti bergerak melangkaui retorik, dan membina kerjasama maritim yang konkrit diterajui ASEAN secara praktikal, justeru Malaysia mencadangkan beberapa inisiatif yang berpandangan jauh ke hadapan.

Ia termasuk Cabaran Inovasi Maritim ASEAN (AMIC), bagi menggalakkan pegawai dan akademi tentera laut mencadangkan penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi untuk menyelesaikan masalah maritim, dan panampilan Piala Sukan Tentera Laut ASEAN bagi memupuk persahabatan dan kerja berpasukan melalui persaingan sihat dalam sukan maritim.

Mohamed Khaled turut mencadangkan projek tentera laut ASEAN di seluruh rantau yang memajukan penggunaan teknologi, meningkatkan modal insan dan membina keupayaan tentera laut melalui program pembangunan bersama sambil memanfaatkan kekuatan unik setiap negara untuk faedah bersama rantau ini.

Beliau seterusnya menjemput semua negara ASEAN untuk meneroka secara kolektif pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) dalam menangani ancaman maritim moden.

Mohamed Khaled berkata WOGOS adalah keperluan strategik untuk mengintegrasikan pertahanan, diplomasi dan penguatkuasaan merentasi banyak agensi untuk membina daya tahan jangka panjang yang berteraskan keterangkuman, inovasi dan tanggungjawab bersama.

Dipengerusikan oleh Panglima Tentera Laut Malaysia, Laksamana Tan Sri Datuk Dr Zulhelmy Ithnain, ANCM ke-19 yang berlangsung semalam hingga 22 Ogos, merupakan mesyuarat peringkat tinggi ketua-ketua tentera laut ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan maritim.

Dengan tema ‘Advancing the ASEAN Navies’ Unity - Synergising Innovation and Technology in Strengthening ASEAN Maritime Security’ mesyuarat itu menghimpunkan 88 delegasi tentera laut dari 10 negara ASEAN bersama pemerhati dari Timor-Leste.

Ia turut menyaksikan penyertaan 10 kapal tentera laut ASEAN dengan kira-kira 1,350 pegawai dan kakitangan, sebagai sebahagian daripada segmen Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala ASEAN (AMNEX).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan