Mahkamah Tinggi Tetapkan 25 Ogos Dengar Hujah Permohonan Gali Semula Kubur Pelatih Palapes UTM

19/08/2025 01:57 PM

SHAH ALAM, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar hujah notis permohonan gali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22. 

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas pihak Ketua Polis Negara (KPN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden, memohon masa untuk memfailkan afidavit balasan yang dibuat ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini bagi kedua-dua responden mengemukakan afidavit balasan, sementara pendengaran hujahan notis itu dibuat pada 25 Ogos nanti. 

Permohonan dikemukakan Ummu Haiman yang diwakili peguam Naran Singh itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian. 

Hadir pada prosiding hari ini Peguam Kanan Persekutuan Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara (responden satu), manakala Pengarah Pendakwaan Selangor Kalmizah Salleh mewakili Jabatan Peguam Negara (responden kedua). 

Terdahulu, kedua-dua responden memohon tempoh dua minggu untuk menyediakan afidavit balas, namun Naran Singh memohon supaya tempoh itu dipendekkan kepada seminggu. 

"Kami percaya seminggu cukup kerana mayat telah dikebumikan pada 29 Jun. Kami mohon dapat afidavit balas dalam tempoh seminggu,” katanya. 

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor, dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.

Ummu Haiman telah ini memfailkan usul bagi menggali semula jenazah bagi bedah siasat kedua dan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan