Ad Banner
 AM > BERITA

Penempatan Aset Pertahanan Di Sempadan Utara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

20/08/2025 08:36 AM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Isu penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pada sesi soal jawab meminta Menteri Pertahanan menyatakan status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak serta Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kerjasama ekonomi bersama Blok ND6 dan Blok ND7 yang telah dibincangkan dalam perundingan bersama Presiden Indonesia.

Kawasan maritim Blok ND6 dan Blok ND7 yang terletak dalam Peta Baharu Malaysia 1979 dirujuk sebagai Laut Sulawesi oleh Malaysia dan bukan "Ambalat" seperti yang digunakan oleh Indonesia.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.

Sebanyak 161 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula 4 Ogos lepas.

RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 31 Julai lepas, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan