SEREMBAN, 20 Ogos (Bernama) -- Bermodalkan RM200, seorang penduduk bersemangat menghiasi kediamannya dengan lebih 150 bendera untuk memburu gelaran 'Rumah Terpaling Merdeka' sempena sambutan bulan kemerdekaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang di sini.
Jasmin Abu Hassan, 53, berkata dia dibantu isterinya, Rosmaini Mohd Yusof, 47, seorang guru tadika, dan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan hiasan berkenaan, terdiri daripada Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan.
Penyelia di sebuah syarikat itu berkata pada tahun lepas dia hanya menggantung bendera sahaja, namun kali ini tampil kelainan dengan menyiapkan pelbagai dekorasi tambahan, iaitu bendera Negeri Sembilan serta potret pemimpin negara di hadapan rumahnya.
“Tahun ini lebih meriah kerana ada pemenang bagi setiap minggu, kalau sebelum ini hanya letak bendera sahaja kali ini hiasan lebih kreatif, anak-anak pun seronok membantu.
"Selain bendera saya juga turut mempamerkan gambar semua Perdana Menteri yang pertama hingga sekarang bagi melengkapkan dekorasi kemerdekaan kali ini," katanya yang muncul naib johan keseluruhan pada tahun lepas.
Bapa kepada enam cahaya mata itu yang menetap di taman berkenaan sejak 25 tahun yang lepas berkata masih ada 40 peratus lagi hiasan belum disiapkan menjelang tarikh akhir pertandingan pada hujung bulan ini.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Pinggiran Senawang, Fadzil Sharil, 59, berkata pertandingan memasuki tahun kedua itu semakin mendapat sambutan apabila lebih 80 peratus penduduk taman tampil lebih kreatif menghias rumah masing-masing.
“Setakat ini kita sudah ada empat pemenang mingguan. Walaupun hadiah tidak besar, hanya pingat, hamper dan barangan keperluan harian, namun semangat mereka luar biasa. Malah, setiap minggu ada penambahan elemen baharu, menjadikan suasana taman lebih meriah,” katanya kepada pemberita.
Fadzil berkata sebanyak 20 rumah terbaik akan mara ke pusingan akhir pada 6 Sept, dengan empat kategori dipertandingkan, iaitu keceriaan, susun atur, kreativiti dan kekemasan.
Dalam pada itu, beliau berkata KRT taman itu juga bersepakat menghasilkan mercu tanda negara, iaitu replika KLCC sebagai hiasan bulan kemerdekaan dengan mengunakan 500 botol terpakai, paip PVC serta beberapa peralatan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial