Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Masuki Fasa Kedua AIR2040 Dalam RMK13 - Fadillah

20/08/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia kini menuju kepada fasa kedua Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membangunkan teknologi tempatan yang setanding piawaian antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selain jaminan bekalan air mampu milik, mencukupi, bersih dan berkualiti kepada rakyat, AIR 2040 adalah agenda nasional bagi mentransformasikan sektor air kepada sektor ekonomi dinamik serta mempergiat pembangunan dan inovasi teknologi air tempatan melalui kerjasama strategik dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Beliau berkata Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), antara manifestasi membuktikan kemampuan tempatan untuk membina infrastruktur air berskala besar dengan dilengkapi teknologi rawatan air moden sebagai penanda aras sebuah fasiliti yang setanding piawaian antarabangsa.

“Bagaimanapun, pembinaan infrastruktur bekalan air seperti ini yang menggunakan teknologi moden melibatkan kos yang tinggi. Dalam projek ini, PAAB berperanan sebagai pembiaya dan pelaksana projek yang membolehkan pembinaannya dilaksanakan dengan kos lebih optimum berbanding melalui pembiayaan komersial lain,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian LRA Langat 2 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, PAAB merupakan agensi yang menguruskan pembiayaan infrastruktur bekalan air bagi negeri yang telah memasuki perjanjian penstrukturan semula itu.  

Ad Banner

“Antara matlamat utama model pembiayaan di bawah penstrukturan semula ini adalah supaya operator air boleh memberi fokus sepenuhnya kepada operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air bagi memastikan kecekapan pengurusan. Selain itu, ia juga membantu memastikan kedudukan kewangan operator air lebih berdaya tahan dan stabil,” katanya.

Fadillah berkata pada masa sama di bawah AIR2040, kerajaan bercadang memperkenalkan pembiayaan alternatif bagi meningkatkan kemampanan kewangan sektor air sekali gus mengurangkan kebergantungan pada dana kerajaan.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga meneroka potensi sumber air alternatif seperti air pulih guna untuk kegunaan industri yang bukan berkaitan makanan seperti Pusat Data.

Fadillah berkata PETRA turut memberi tumpuan kepada mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW) dalam RMK13 melalui Program Penggantian Paip Kritikal di seluruh Malaysia, penyelesaian NRW holistik dan pemberian imbuhan balik kepada operator air yang berjaya mencapai sasaran NRW telah ditetapkan di negeri yang dikenal pasti.

“Melalui program yang telah dirancang ini, kadar NRW dijangka akan dapat diturunkan kepada 28.8 peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan kerajaan negeri juga akan diteruskan dalam perancangan dan pembangunan infrastruktur sumber air baharu demi memastikan keperluan bekalan air untuk pengguna domestik dan industri yang kritikal bagi pembangunan negeri dapat dipenuhi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan