KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 27 sungai atau empat peratus daripada 672 sungai utama yang dipantau di seluruh negara pada 2024 berada pada tahap tercemar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), daripada 672 sungai berkenaan, 475 atau 71 peratus berada pada kategori bersih manakala 170 atau 25 peratus lagi berada pada tahap sederhana tercemar.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata antara parameter utama pencemar dikenal pasti ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Nitrogen Ammonia (AN), Jumlah Pepejal Terampai (TSS) dan Oksigen Terlarut (DO).
“Secara keseluruhannya, tiada sungai di negara kita yang berada dalam tahap lima, iaitu sangat (tercemar) teruk, tetapi ada beberapa sungai yang kita perlu beri perhatian supaya kita dapat capai tahap selamat.
“Kita nak pastikan air sungai bukan sahaja (sesuai) untuk orang mandi dan beriadah, tetapi yang paling penting ialah untuk makan dan minum,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadillah berkata mesyuarat berkenaan mencadangkan supaya piawaian baharu pelepasan efluen air sisa bandar dan luar bandar hasil kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) dikuatkuasakan pihak berkuasa negeri.
Beliau berkata ia merangkumi 11 parameter utama termasuk pH, BOD, COD, pepejal terampai, minyak dan gris, nitrogen, merkuri, warna dan sisa pepejal.
Pihaknya juga bersetuju supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan bengkel bagi memperincikan piawaian pelepasan air dari sistem perparitan ke jajaran sungai melibatkan pelbagai agensi, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab menguruskan longkang dan perparitan.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri menggunakan teknologi tempatan yang dibangunkan NAHRIM seperti pengekstrak beban terampai, perangkap minyak dan gris menggunakan teknologi IOT dan sistem Intriguard bagi penandaan rizab sungai untuk mengelak pencemaran luar masuk ke dalam jajaran sungai.
“Pelaksanaan langkah strategik ini diyakini dapat memulihkan kualiti air sungai secara signifikan, memastikan kelestarian alam sekitar, menjamin kesihatan rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pencemaran global.
“NAHRIM dah bentangkan teknologi bagaimana kita nak buat tapisan di pelbagai peringkat supaya air sungai sentiasa bersih. Kita nak pastikan supaya semua air yang mengalir daripada perparitan, longkang termasuklah longkang tanah dan sebagainya, ada sistem penapisan, elak pencemaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial