KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Buat julung kalinya sempena Bulan Kebangsaan, Kelab Motosikal Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan Kembara Jalur Gemilang sebagai platform menyatukan ikatan persahabatan antara petugas selain menyemai rasa cinta terhadap negara dalam kalangan masyarakat.
Presidennya, Amrizan Madian berkata konvoi sehari itu melibatkan 20 motosikal berkuasa tinggi, disertai warga dan bekas petugas Bernama yang akan bermula di Plaza Tol Gombak seawal 7.30 pagi esok.
“Peserta akan melakukan perjalanan sejauh 200 kilometer (km) dengan melalui Lebuhraya Karak yang menjadi lokasi mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna motosikal lain sebelum konvoi berakhir di Kuala Kubu Baharu.
“Program kali ini berbeza daripada sebelumnya kerana bukan sahaja melibatkan bekas kakitangan Bernama malah ia juga diadakan di luar Wisma Bernama pada Bulan Kebangsaan.
“Konvoi ini menjadi medium untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi pengagihan Jalur Gemilang sewaktu kembara ini dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kembara Jalur Gemilang Kelab Motosikal Bernama di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan turut dihadiri Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.
Program itu dianjurkan sepenuhnya oleh agensi berita berkenaan di bawah seliaan Kelab Kakitangan Bernama.
Setiausaha Kelab Motosikal Bernama Muzammil Abdullah, yang juga wartawan Bernama TV, berkata program itu menjadi pemangkin untuk mengukuhkan lagi hubungan antara rakan sekerja sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti.
“Program Kembara Jalur Gemilang kali ini memberi kelainan kerana ia bukan sahaja mempererat hubungan sesama warga Bernama sebagai sebuah komuniti tetapi turut menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cinta akan negara melalui penyertaan pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Sejak penubuhannya, kelab berkenaan telah mengadakan beberapa program kembara seperti ke Makam Mat Kilau di Jerantut serta sambutan ulang tahun kelab di Janda Baik, Pahang dan beberapa siri jelajah iaitu ke Kota Bharu di Kelantan, Kuantan di Pahang dan sekitar Selangor.
Kelab Motosikal BERNAMA mempunyai kira-kira 80 ahli sejak ditubuhkan secara rasmi pada 31 Ogos 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial