KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol mengingatkan pengamal media agar lebih berhati-hati dalam menulis serta menerbitkan berita.
Susulan laporan berkaitan akhbar tempatan Sarawak Tribune yang disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penerbitan sebuah artikel baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa setiap penerbitan berita perlu dibuat dengan penuh pertimbangan agar tidak menyinggung sensitiviti masyarakat.
“Setiap tindak-tanduk kita, terutama warga media, harus berhati-hati dalam menulis atau menerbitkan sesuatu berita supaya tidak menyinggung perasaan masyarakat.
“Dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya, ada perkara-perkara tertentu yang kita perlu lebih sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Bersama Media Sarawak 2025 sempena Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdullah menjelaskan bahawa tindakan KDN adalah sebahagian daripada bidang kuasa pihak berkuasa, sama ada kementerian ataupun polis, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Namun begitu, beliau berkata insiden tersebut juga harus dijadikan pengajaran kepada warga media mengenai tanggungjawab besar yang dipikul dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Media tidak seharusnya terlalu ghairah mencari perhatian sehingga mengabaikan sensitiviti isu nasional, kebangsaan mahupun kemanusiaan,” katanya.
Media pada Jumaat melaporkan, KDN mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Sarawak Tribune susulan aduan awam berhubung penerbitan artikel bertajuk Militant Using Press Cover Eliminated yang disiarkan pada 12 Ogos.
Dalam pada itu, Abdullah turut menekankan kepentingan pengamal media dalam menghargai jasa serta pengorbanan bekas perajurit negara yang telah membina asas keamanan dan kebebasan yang dinikmati pada masa kini.
“Media adalah senjata yang boleh membentuk pemikiran masyarakat. Kalau dahulu orang berkata pena lebih tajam daripada pedang, hari ini cabarannya lebih besar kerana melibatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pemberitaan,” jelasnya.
Abdullah berharap warga media, khususnya di Sarawak dan Malaysia amnya, terus memainkan peranan yang bertanggungjawab demi memastikan keamanan, keharmonian dan kebebasan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial