Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fadillah Ketuai Delegasi Malaysia Ke APEC EMM15 Di Korea Selatan

24/08/2025 11:52 AM

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC (APEC EMM15) pada 27 hingga 28 Ogos ini, di Busan, Korea Selatan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan APEC EMM15 merupakan platform utama peringkat Menteri Tenaga di bawah APEC, untuk membincangkan dasar, strategi serta kerjasama dalam bidang tenaga.

“Dalam mesyuarat ini, Timbalan Perdana Menteri akan mengetengahkan aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Penyertaan ini juga akan memperkukuh imej Malaysia sebagai rakan strategik serantau dalam kerjasama tenaga dan destinasi pelaburan hijau yang bersih, mampan serta bernilai tinggi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan PETRA itu, selain menghadiri APEC EMM15, Fadillah dijadualkan menyertai dialog meja bulat semasa 16th Clean Energy Ministerial (CEM16), 10th Mission Innovation Ministerial (MI-10) dan 2025 World Climate Industry EXPO (WCE).

Fadillah turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari ekonomi APEC seperti Korea Selatan, Hong Kong China, New Zealand dan Brunei, bagi memperluas jaringan kerjasama dalam bidang tenaga, khususnya yang menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Ad Banner

Kenyataan itu memaklumkan, semasa di Korea Selatan Fadillah juga akan mengadakan lawatan kerja ke Korea Hydro and Nuclear Power (KHNP) – Saeul Nuclear Power Plant dan Doosan Enerbility bagi meneroka peluang kerjasama dua hala dalam aspek latihan, pemindahan teknologi serta pendedahan teknikal berkaitan operasi loji jana kuasa tenaga nuklear.

Lawatan rasmi itu diakhiri dengan kunjungan ke Gangbyeon Wastewater Treatment Plant sebuah fasiliti rawatan air kumbahan di Busan.

Kenyataan memaklumkan lebih 100 peserta terdiri daripada Menteri Tenaga, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin industri tenaga dari seluruh ekonomi APEC dijangka menghadiri mesyuarat tersebut.

Bertemakan Accelerating Sustainable, Affordable, Reliable, Secure and Innovative Energy for a Prosperous Future, hasil mesyuarat akan dimuktamadkan melalui satu Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Tenaga APEC.

“Penyertaan Malaysia dalam APEC EMM15 ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara dalam kerjasama tenaga serantau, malah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kelestarian, kesejahteraan serta inovasi bagi menjamin masa depan tenaga yang mampan, inklusif dan berdaya tahan untuk rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan