Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keharmonian Budaya India-ASEAN Serlah Hubungan Akrab

24/08/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pertukaran budaya memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara rakyat serta memupuk persefahaman antara India dan ASEAN, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy.

Bercakap pada majlis Celebrating India-ASEAN Cultural Harmony anjuran Suruhanjaya Tinggi India dan Pusat Kebudayaan India Netaji Subhas Chandra Bose (NSCBICC) dengan kerjasama Bharat Club Kuala Lumpur, Reddy berkata inisiatif seperti itu mencerminkan hubungan ketamadunan antara India dan rantau ini yang lama terjalin.

“India-ASEAN dan India-Malaysia berkongsi perkongsian strategik komprehensif dan di bawah Kepengerusian Malaysia, sambutan ini menyerlahkan lagi hubungan yang sangat dihargai kedua-dua pihak,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu di sini pada Jumaat.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada diaspora India di Malaysia atas peranan mereka mempromosi dan memelihara budaya serta tradisi India, selain memuji Bharat Club Kuala Lumpur untuk sumbangan mereka sejak lima dekad lepas. 

Program kebudayaan itu diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan India ke-79 di bawah Promosi Hubungan Budaya bersama Diaspora (PCTD) oleh Kementerian Hal Ehwal Luar India, menampilkan persembahan kebudayaan termasuk tarian joget dari Malaysia dan tarian buluh yang dipersembahkan di seluruh ASEAN. 

Ia juga melibatkan persembahan penceritaan semula epik Ramayama dan pertunjukan kostum menarik bagi meraikan kepelbagaian budaya India. 

Ad Banner

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran yang hadir sebagai tetamu kehormat, mengucapkan tahniah kepada penganjur atas persembahan kebudayaan tersebut. 

Lebih 600 tetamu hadir majlis itu, termasuk Ketua-Ketua Misi ASEAN dan ahli komuniti diplomatik, pegawai kanan Malaysia, wakil perniagaan dan anggota komuniti India. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan