Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PMR N Sembilan: Lebih 5,000 Anak Pokok Diagih, Galak Amalan Hijau

24/08/2025 03:31 PM

NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) mengagihkan lebih 5,000 anak pokok pelbagai jenis kepada orang ramai sepanjang tiga hari Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini.

Penolong Pegawai JPNS Anuar Rizal Abdullah berkata antara anak pokok berkenaan ialah durian Musang King D197, kelapa jenis Malayan Red Dwarf dan Malayan Yellow Dwarf, rambutan, limau dan dokong selain 1,000 benih sayur-sayuran termasuk sawi, bayam, cili dan terung.

“Kita turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk program ini. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan, memang orang ramai tak henti-henti datang sejak Jumaat lepas, setakat pagi ini hampir 4,500 anak pokok habis diedarkan.

“Paling mendapat sambutan ialah anak pokok durian Musang King, kita bawakan 100 anak pokok, memang cepat habis tak sampai sejam. Hari terakhir ini kita agihkan anak pokok kelapa,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai jabatan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut adalah bagi menggalakkan orang ramai menanam pokok sebagai langkah menghijaukan kawasan kediaman sekali gus memastikan satu rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu tanaman buah-buahan.

Anuar Rizal berkata pihaknya turut menyediakan kemudahan imbasan kod QR yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara tanaman, kaedah penjagaan dan manfaat setiap jenis tanaman berkenaan.

Ad Banner

Suri rumah Siti Hajar Mat Saman, 61, yang gembira dengan pemberian anak pokok itu berkata ia berbaloi selain usaha baik dilakukan JPNS untuk menarik minat orang ramai menanam pokok.

“Saya dapat tahu mengenai pemberian ini lepas tengok ramai ke reruai ini, alhamdulillah, rasa bertuah sebab dapat secara percuma, saya memang suka menanam dan anak kelapa ini nak tanam di kebun nanti,” katanya yang tinggal di Mantin, di sini.

Pesara tentera Nasri Abdullah, 57, pula berkata pemberian anak pokok itu memberi manfaat besar kepada masyarakat dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa

“Inisiatif ini juga bagus sebab bukan sekadar beri anak pokok, tapi juga beri panduan. Bila imbas QR, terus dapat info tentang cara tanam dan sebagainya, sangat membantu untuk menanamnya di kawasan rumah,” katanya.

PMR yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat itu bertemakan 'Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti' dan diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dan Kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan