Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PMR N Sembilan: Pengunjung Teruja Jadi Angkasawan

24/08/2025 05:09 PM

NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- “Seolah-olah berada di angkasa lepas”. Demikian luahan pengunjung yang teruja merasai pengalaman unik meneroka angkasa dengan teknologi realiti maya (VR) menerusi aktiviti Planet VR di reruai Planetarium Negara sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini.

Kebanyakan pengunjung terutama kanak-kanak menyifatkan pengalaman berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk merasai suasana seperti berada di luar bumi dengan visual dan kesan khas yang nyata.

Mohd Haziq Mohd Sukri, 7, yang datang bersama keluarganya dari Port Dickson berkata dia sangat teruja kerana dapat mencuba pengalaman baharu mengembara ke ruang angkasa secara maya yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Sangat menakjubkan, sebelum ini tengok dalam buku atau televisyen sahaja, ini macam betul-betul tengok planet depan mata. Kalau bukan kerana program ini mungkin saya takkan rasa pengalaman jadi angkasawan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Ahmad Tsaqif Ahmad Faiz, 9, pula berkata pengalaman VR itu membuatkannya lebih bersemangat untuk belajar mengenai bintang dan planet di sekolah.

Penjawat awam Jamalia Mat Radin, 44, berkata inisiatif dilakukan Planetarium Negara itu perlu dipuji kerana memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai dunia astronomi dengan cara menyeronokkan.

Ad Banner

“Ia bukan sahaja menghiburkan tetapi turut memberi nilai tambah kerana menggalakkan masyarakat terutama kanak-kanak untuk mendekati bidang sains dan teknologi. Bukan sahaja anak, tetapi saya juga turut cuba merasai pengalaman itu, memang menarik,” katanya.

Penolong Pegawai Sains Planetarium Negara Norakma Mohamed berkata inisiatif dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertemakan from earth to universe itu memberi peluang kepada orang ramai meneroka dunia angkasa lepas menerusi aplikasi VR.

“Astronomi dan sains angkasa merupakan bidang yang agak susah, jadi kami gunakan aplikasi VR ini untuk membawakan pengalaman kepada pengunjung. Mereka berpeluang jadi angkasawan dan berada di angkasa lepas,” katanya.

Beliau berkata ia juga bertujuan menarik minat golongan muda terhadap bidang astronomi selain mendekatkan masyarakat dengan sains melalui pendekatan lebih interaktif dan menyeronokkan.

PMR Negeri Sembilan yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat menawarkan pelbagai aktiviti menarik bertemakan pendigitalan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Program bertemakan 'Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti' itu diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dan Kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan