Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Gempa Segamat: Isyarat Malaysia Perlu Perkukuh Kesiapsiagaan Seismik – Pakar

24/08/2025 04:43 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 24 Ogos (Bernama) -- Kejadian gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat awal pagi ini disifatkan sebagai “isyarat awal” yang jelas bahawa Malaysia perlu memperkukuh pemantauan seismik, kesiapsiagaan bencana dan audit keselamatan struktur bangunan.

Felo Akademi Sains Malaysia merangkap Timbalan Presiden Persatuan Struktur Keluli Malaysia (MSSA) Dr Azlan Adnan berkata gegaran pada 6.13 pagi itu dipercayai berpunca daripada pelepasan tekanan tektonik pada sesar kecil yang sebelum ini tidak dipetakan atau dianggap pasif di selatan Semenanjung.

“Johor termasuk Segamat sebelum ini dijangkakan bukan di kawasan zon aktif seperti di Sabah atau Sumatera, namun bukan sifar risiko. Dari perspektif kejuruteraan gempa bumi, peristiwa ini ialah isyarat awal bahawa wujud struktur geologi tempatan yang perlu dikenal pasti, dicirikan dan dipantau.

“Ia memerlukan kajian pemetaan sesar yang lebih terperinci, penilaian kesan tapak lebih berkesan serta rangkaian pemantauan lebih rapat dan padat di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata rekod Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan intensiti pecutan puncak (Peak Ground Acceleration) mencapai 10 peratus, tahap yang berpotensi mencetuskan kerosakan kecil kepada struktur berdekatan sekiranya berulang.

Ad Banner

Mengulas risiko gempa susulan, Azlan berkata 72 jam pertama selepas gegaran adalah tempoh kritikal.

“Kita menjangkakan gegaran susulan kecil mungkin berlaku. Kebarangkalian gegaran lebih besar kekal rendah tetapi bukan mustahil. Maka pendekatan berjaga-jaga wajar diambil seolah-olah gegaran ini mungkin ‘foreshock’ sehingga rangkaian susulan reda dan tiada pengelompokan berbahaya dikesan.

“Tetapi, jika ia benar-benar merupakan ‘foreshock’, gegaran yang berkemungkinan lebih besar boleh berlaku iaitu magnitud gempa lebih besar daripada magnitud 4.1,” katanya.

Dari sudut impak, beliau berkata struktur lama atau tidak diselenggara, komponen bukan struktur (siling gantung, batu hiasan, tangki air di bumbung), serta cerun tebing/penahan tanah berisiko mengalami kerosakan ringan ke sederhana jika gegaran berulang.

“Gangguan utiliti tempatan (air, elektrik, telekom) juga boleh terjadi jika peralatan tidak dipasang dengan penahan gegaran yang baik. Ini bermaksud risiko boleh wujud berulang kali, dan kita tidak harus menunggu bukti kerosakan besar sebelum mempertingkat kesiapsiagaan,” katanya.

Justeru, Azlan menggesa kerajaan, agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan komuniti penyelidik bergerak seiring bagi memperkukuh rangkaian seismometer berkepadatan tinggi, menggunakan teknologi GNSS (Global Navigation Satellite System) dan InSAR (Interferometric Synthetic Aperture Radar), melaksanakan pembnahagian mengikut zon bandar, serta audit pantas bangunan kritikal.

Beliau turut menyarankan orang ramai mempraktikkan panduan antarabangsa seperti ‘Tunduk, Berlindung, Pegang’ ketika gegaran, keluar dengan tenang selepas reda, elak menggunakan lif, memeriksa kerosakan struktur dan menyimpan kit kecemasan 72 jam berisi air, makanan, lampu suluh, ubat dan pelan komunikasi keluarga.

Sementara itu, Pensyarah Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Nur Asmawisham Alel berkata Malaysia tidak boleh lagi berasa terlalu selamat daripada ancaman seismik.

Beliau berkata antara 1922 hingga 2020, sebanyak 59 kejadian gempa bumi direkodkan di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah mencatat 67 kejadian antara 1900 hingga 2019 termasuk tragedi Ranau 2015 yang meragut 18 nyawa.

Sehubungan itu, beliau berkata piawaian bangunan tahan gempa berasaskan Eurocode 8 yang dikuatkuasakan mulai 2021 perlu disokong dengan penilaian semula bangunan lama, pendidikan bencana di semua peringkat masyarakat serta latihan berkala pihak berkuasa dan komuniti.

“Pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa perlu dilengkapkan dengan peningkatan tahap kesedaran awam serta pendidikan bencana di semua peringkat masyarakat. Pada masa sama, bangunan lama yang tidak memenuhi piawaian moden perlu dinilai semula bagi memastikan keselamatan penghuni.

“Dengan gabungan usaha kerajaan, agensi berkaitan, dan masyarakat sendiri, Malaysia boleh mengurangkan risiko dan memperkukuh daya tahan menghadapi kemungkinan gempa bumi pada masa hadapan,” katanya.

MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di 28 kilometer dari Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan