Oleh Razif Rosli
IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Konvoi bermotosikal menjadi platform menggelorakan semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai lapisan dengan menjadikan Jalur Gemilang sebagai lambang penyatuan rakyat Malaysia.
Perkara itu yang dilakukan lebih 300 peserta dengan kira-kira 150 motosikal yang menyertai Program Kembara Perpaduan Jalur Gemilang 2025, anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak di DUN Manjoi Datuk Asmuni Awi berkata program itu, bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta menzahirkan solidariti masyarakat sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Beliau berkata program itu bermula dengan pelepasan konvoi Motoride Merdeka di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Tapah sebelum peserta berkonvoi melalui Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru menuju Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chepor Raya, Petron Taman Chepor Indah dan berakhir di Dewan Komuniti Pekan Chemor sebagai penamat.
“Sepanjang laluan, setiap hentian atau check point akan diserikan dengan pengedaran Jalur Gemilang kepada orang ramai, sebagai simbol kebanggaan dan kecintaan kepada negara,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Asmuni yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata program itu bukan sahaja memberi ruang masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, tetapi juga memperkukuh semangat cintakan tanah air.
“Semangat patriotisme tidak boleh dibiarkan luntur dan konvoi kembara ini membawa mesej jelas bahawa perpaduan adalah kekuatan terbesar kita sebagai rakyat Malaysia.
“Konvoi yang disertai pelbagai peringkat umur dan latar belakang ini membuktikan bendera yang kita kibarkan bukan sekadar kain, tetapi lambang kedaulatan, pengorbanan dan kesetiaan kita kepada negara,” katanya.
Asmuni berkata selain konvoi, sebanyak 65 keluarga di Taman Chepor Raya akan menerima sumbangan kotak makanan, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama erat daripada KRT Halaman Meru Permai, KRT Taman Meru 2B, KRT Taman Chepor Raya, KRT Sungai Tapah dan KRT Pekan Chemor, yang bersama-sama memainkan peranan menggerakkan masyarakat ke arah memperkukuh semangat kebangsaan dan perpaduan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial