SEGAMAT, 24 Ogos (Bernama) -- Jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap, di sini berdepan detik cemas ketika menunaikan solat subuh apabila berlaku gegaran dan dentuman kuat sehingga menyebabkan skirting siling surau itu terjatuh.
Imam Saniman Abdul Samad, 63, berkata gegaran dirasai ketika tahiyat akhir.
"Mujur (skirting) tidak kena jemaah ketika solat dan ia adalah pengalaman pertama saya merasai gempa bumi lebih-lebih lagi ketika sedang solat,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, penduduk di sekitar kawasan Buloh Kasap di sini mendakwa ia bukan kejadian gegaran pertama berlaku di situ.
Menurut penduduk, kejadian sama pernah terjadi tahun lepas namun tidak sekuat gegaran pagi tadi.
Penduduk, Ahmad Asri Talib, 52, berkata dia menyedari berlaku gegaran sekitar 6.15 pagi yang bermula dengan letupan kuat sebelum rumahnya, di Taman Pawana, Kampung Tengah, seolah-olah digoncang.
Katanya, tidak lama selepas itu dia mendengar suara riuh-rendah penduduk sekitar perumahan yang agak terkejut dengan kejadian itu.
“Walaupun gegaran tidak lama tetapi semuanya bergegar termasuk tingkap dan pintu. Agak-agak 20 saat gegaran itu berlaku, pintu gelangsar rumah saya seperti ditendang.
“Kejadian seperti ini mengingatkan saya perkara yang sama tahun lepas…gegaran berlaku beberapa kali pada bulan yang sama (Ogos), cuma tarikhnya tak berapa nak ingat,” katanya.
Ahmad Asri berkata dia juga tidak menyangka berlaku gegaran seterusya pada 9 pagi ketika berada di sebuah kedai makan di Pekan Jabi untuk bersarapan
Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan sebarang gegaran di Segamat.
MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1 pada skala Richter, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi d Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial