KLANG, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan melaksanakan latihan pensijilan Program Mediator Komuniti (MK) mulai tahun depan bagi menambah baik keberkesanan inisiatif intervensi penyelesaian konflik di peringkat akar umbi.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail berkata program itu dilaksanakan secara berfasa melibatkan 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Ketua Kampung Tradisi dari sembilan daerah seluruh Selangor.
"Besarlah harapan kerajaan negeri, masyarakat Malaysia khususnya warga Rumpun Selangor untuk terus dapat dididik dan dibudayakan dengan sikap tanggungjawab, rasa sayangkan raja, negara, negeri serta sesama bangsa demi memelihara nikmat kemerdekaan dan keamaanan.
"Kerajaan negeri juga sentiasa mengambil sikap tanggungjawab dan serius terhadap pentingnya memantau dan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan keharmonian dalam kalangan kaum serta masyarakat terpelihara," katanya berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) peringkat Selangor di sini hari ini.
Pada masa sama, Rizam berkata Jawatankuasa Tetap Perpaduan Nasional Selangor juga melaksanakan Program Duta Perpaduan Rumpun Selangor bertujuan memanfaatkan jangkauan pempengaruh dalam kalangan anak muda kelahiran negeri ini.
"Sebagai permulaan, duta berkenaan akan dilantik dan diumumkan semasa Majlis Perasmian Ekspo Kemerdekaan Kampung-Kampung Tradisi Peringkat Negeri Selangor pada 30 Ogos di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.
"Duta terpilih akan menyebar luas mesej perpaduan melalui penceritaan yang unik kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia dan generasi muda bertepatan dengan tema Sambutan Minggu Perpaduan iaitu 'Harmoni Dalam Kepelbagaian'," katanya.
Beliau berkata Selangor selaku paksi negara sudah menerima pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara, bahkan dari luar negara sama ada untuk menyambung pengajian, mencari peluang pekerjaan atau bermastautin.
Sehubungan itu, Rizam berkata inisiatif Gagasan Rumpun Selangor yang diwujudkan sebelum ini sudah menjadi satu ideologi penyatuan masyarakat yang pelbagai bagi membina kerukunan dan keharmonian yang berpanjangan.
Terdahulu, acara yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran B itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negera Datuk Haslina Abdul Hamid.
SMP Peringkat Selangor berlangsung selama tiga hari bermula 22 Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Konvoi Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga dan Kempen Jalur Gemilang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial