Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ribuan Beruang Teddy Simbolik Sokongan Buat Anak Palestin

24/08/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pengunjung Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka teruja menyaksikan ribuan beruang teddy pelbagai jenis dan berwarna-warni dikumpulkan membentuk formasi peta Palestin.

Program simbolik itu menyasarkan kutipan 8,000 beruang teddy bagi mewakili lebih 18,000 kanak-kanak Palestin yang terkorban di Gaza sejak serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis.

Pengarah Malaysia Book of Records Cinta Gaza Malaysia Ikmal Islam berkata beruang teddy dipilih kerana ia dekat di hati masyarakat serta melambangkan kasih sayang dan dunia kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.

Beliau berkata sambutan orang ramai sangat menggalakkan namun mereka memerlukan 4,000 lagi beruang teddy hingga 6 petang ini bagi melengkapkan formasi peta Palestin yang bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records menerusi inisiatif anjuran Cinta Gaza Malaysia (CGM) sempena karnival itu.

“Orang ramai boleh menyumbang serendah RM10 untuk satu beruang teddy. Semua patung akan diserahkan kepada rumah anak yatim di Malaysia manakala sumbangan wang tunai disalurkan kepada rakyat Gaza menerusi CGM,” katanya kepada Bernama.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bersejarah yang mengajak orang ramai membawa atau membeli beruang teddy sebagai simbol kasih sayang serta mesej solidariti rakyat Nusantara.

Ad Banner

Seorang pengunjung, Hamidah Din dari Kajang menyifatkan inisiatif itu memberi ruang kepada masyarakat untuk menyumbang walaupun tidak berada di Gaza.

“Sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk rakyat di sana… yang penting, niat dan hasil sumbangan sampai ke Gaza... saya terkejut apabila melihat banyak beruang teddy,” katanya.

Seorang guru yang hanya ingin dikenali sebagai Ashikin dari Pahang pula berkata beruang teddy adalah simbolik bagi lambang empati terhadap kesengsaraan dan penderitaan kanak-kanak Palestin.

“Beruang teddy ini melambangkan kasih sayang yang menyampaikan mesej bahawa anak-anak kita di sini turut merasai penderitaan rakan seusia mereka di Palestin yang syahid,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati reruai yang dibuka pada 10 pagi itu dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing.

Pelancong dari Filipina Renee Espayos menyifatkan penganjuran program itu sebagai peluang terbaik untuk beliau menyumbang sebagai tanda solidariti bersama Palestin. 

“Saya tertanya-tanya juga (apabila melihat ramai pengunjung) dan kemudian saya dapat tahu ada peluang menderma kepada kanak-kanak Palestin melalui pertukaran beruang teddy... saya gembira dapat membantu,” katanya. 

Pablo Gas dari Sepanyol turut memuji inisiatif itu dan menyifatkan kempen derma melibatkan beruang teddy sebagai usaha yang sangat baik. 

“Ini idea hebat kerana barangan comel dapat menarik orang untuk menderma... saya juga berharap semua yang sedang berlaku di Palestin berakhir secepat mungkin,” katanya.

Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan CGM.

Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan