KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggariskan tujuh tekad utama bagi memastikan Malaysia kekal sebagai suara teguh dunia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin, khususnya berhubung serangan berterusan ke atas Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia perlu terus lantang mengecam jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang awam, serangan ke atas hospital serta sekolah, di samping menuntut perlindungan penuh terhadap institusi kemanusiaan di wilayah berkenaan.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri selagi jenayah ini berterusan. Kami mendukung dan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus teguh dan berani mempertahankan Gaza dan Palestin sehingga mencapai kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan “Deklarasi Sumud Dataran Merdeka Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Perdana Menteri turut hadir pada acara kemuncak karnival berkenaan dan menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk "Malaysiaku Bersama Gaza".
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Dalam deklarasi itu, Ahmad Sani Araby menegaskan Malaysia tidak akan menormalisasikan hubungan atau berkompromi dengan rejim Zionis, serta menolak sebarang usaha yang menghalalkan jenayah penjajahan.
“Kami mendesak supaya perang dihentikan segera dan akses koridor kemanusiaan dunia dibuka tanpa syarat. Kami menuntut gencatan senjata kekal serta menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kebuluran yang digunakan sebagai senjata terhadap Gaza mesti segera dihentikan dan berharap supaya rakyat Malaysia serta negara-negara Nusantara terus menyalurkan bantuan.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, bantuan daripada tangan dan hati rakyat Malaysia tidak akan terputus. Kami akan terus menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kami di Gaza,” katanya.
Ahmad Sani berkata menerusi deklarasi itu, Malaysia turut mengutuk keras pembunuhan 283 wartawan di Gaza yang disifatkan sebagai jenayah terhadap kebebasan media, sambil mengingatkan media di negara ini supaya teguh menyebarkan kebenaran serta membela Palestin melalui ilmu, kefahaman dan kesatuan hati.
“Malaysia mesti menjadi titik penting pembelaan Gaza dan sumber fakta dunia,” katanya sambil menambah rakyat Malaysia akan terus bersatu merentasi agama, bangsa, aliran politik dan pelbagai perbezaan dalam menyokong Palestin.
“Dengan doa dan Qunut Nazilah sebagai senjata, kita akan berdiri bersama Gaza sehingga Palestin mencapai kemerdekaan sebenar. Inilah Deklarasi Sumud Nusantara, kami teguh, tidak goyah dan akan terus berdiri sehingga Gaza merdeka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial