Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, Singapura Jalin Kerjasama Penyelamatan Libatkan Kapal Selam

25/08/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Singapura hari ini menjalinkan kerjasama untuk memperkukuh keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam (SMER) antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara menerusi perkongsian kepakaran dan peralatan sekiranya berlaku bencana.

“Kita percaya dengan kerjasama daripada mana-mana negara seperti Singapura dapat membantu kita jika berlaku bencana… jika nak dapat kerjasama negara lain, mungkin ambil masa kerana faktor jarak.

“Berasaskan kepada semangat ASEAN dan Singapura pula negara jiran, maka wajar kita mempunyai kerjasama sebegini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing sempena lawatan rasminya ke Malaysia di Wisma Pertahanan di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata tidak banyak negara ASEAN mempunyai kapal selam selain daripada Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Terdahulu, Mohamed Khaled dan Chan menyaksikan majlis menandatangani Pengaturan Antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura untuk Sokongan dan Kerjasama Bersama Kapal Selam.

Ad Banner

Dokumen itu ditandatangani Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Singapura (TLRS) Laksamana Madya Sean Wat.

Mohamed Khaled berkata sebagai negara jiran yang berkongsi laluan perairan strategik, kerjasama itu membolehkan Malaysia dan Singapura bertindak dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan apabila menghadapi sebarang situasi kecemasan kapal selam.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut dalam kenyataan hari ini memaklumkan Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan TLRS ditetapkan sebagai agensi utama yang bertanggungjawab dalam penyeliaan dan pelaksanaan inisiatif terbabit selain Penyelaras Penyelamat Negara daripada kedua-dua negara juga akan dilantik bagi memastikan komunikasi dan pelaksanaan operasi berjalan lancar.

“Kawasan liputan operasi turut dikenal pasti meliputi perairan utama seperti Laut China Selatan, Selat Singapura dan Selat Melaka… Ini akan memastikan keupayaan penyelamatan dapat dilaksanakan di laluan maritim yang penting bagi keselamatan serantau dan perdagangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua negara komited untuk menyediakan bantuan penyelamatan terhadap sebarang insiden melibatkan kapal selam yang menghadapi kecemasan selain akses kepada sistem SMER yang lengkap dan rangka kerja operasi terkini turut memperkukuh kesiagaan pasukan dalam melaksanakan operasi berisiko tinggi.

Kerjasama itu turut melibatkan pertukaran data teknikal dan maklumat operasi antara kedua-dua pihak, malah dengan penyelarasan sistem serta prosedur yang lebih seragam akan membolehkan koordinasi operasi dilaksanakan secara lebih pantas dan berkesan semasa insiden sebenar berlaku.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan