Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, Singapura Bincang Keselamatan Siber Dan Infrastruktur Bawah Laut

25/08/2025 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) --  Isu keselamatan infrastruktur bawah laut antara perkara utama yang dibincangkan dalam kunjungan hormat rasmi pertama Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing ke Malaysia hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dalam pertemuan itu, Chan telah membangkitkan mengenai cabaran keselamatan infrastruktur bawah laut yang menghubungkan bekalan tenaga baharu antara kedua-dua negara.

“Singapura telah mengangkat cadangan mengenai keselamatan infrastruktur bawah laut iaitu soal bagaimana jika kita tidak melakukan apa-apa tindakan ia boleh memberi cabaran keselamatan kepada kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata pertemuan itu turut membincangkan perkongsian pengalaman dalam aspek keselamatan siber, terutama yang melibatkan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara juga bersepakat bahawa adalah penting untuk ASEAN sentiasa mengekalkan keamanan dan kestabilan.

"Pada masa yang sama kami turut bersetuju bahawa konflik serta gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja perlu diselesaikan segera," katanya.

Ad Banner

Terdahulu, Mohamed Khaled dan Chan menyaksikan Majlis Menandatangani Pengaturan antara Kerajaan Malaysia dan Singapura untuk Sokongan dan Kerjasama Penyelamatan Bersama Kapal Selam.

Dokumen itu ditandatangani Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Singapura (TLRS) Laksamana Madya Sean Wat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan