GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Pulau Pinang di pekarangan Stadium Batu Kawan, dekat sini Ahad ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri berkata sebanyak 122 kontinjen melibatkan 7,533 peserta menyertai kawad kaki yang terdiri daripada jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kontinjen kenderaan pula melibatkan 22 penyertaan menjadikan penglibatan 958 orang dengan 676 kenderaan manakala keseluruhan jawatankuasa dan petugas yang terlibat sebanyak 1,531 orang.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urus setia yang terlibat pada tahun ini adalah sebanyak 10,072 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sambutan yang bermula 7.30 pagi hingga 11.30 pagi itu akan turut diserikan dengan persembahan koir lagu patriotik oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, persembahan tarian kebudayaan, persembahan Gendang Muhibah, Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Rejimen Kedua Pasukan Melayu Diraja dan aset-aset kenderaan daripada pelbagai jabatan.
Selain itu, Law berkata 21 reruai pameran yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi turut disediakan di samping pameran aset dan jentera berat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menarik perhatian semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata sambutan tahun ini membawa tema "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" yang merupakan cerminan visi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan negara dengan pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri serta barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta kenamaan negeri yang lain dijangka hadir pada sambutan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial