Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Duti Timbal Balas Dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025

26/08/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang menggariskan perlindungan kepada industri tempatan untuk menangani amalan perdagangan tidak adil oleh pengeluar atau pengeksport luar negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata matlamat RUU ini adalah untuk memastikan perdagangan yang adil dalam suasana negara berdepan dengan tarif, mengalami kesan ‘second order effect tarif itu selain kebimbangan terhadap sistem multilateralisme Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Secara amnya kepentingan awam turut merangkumi aspek kebergantungan kepada barangan import, harga pengguna, bekalan barangan dan kesan terhadap industri hiliran serta inflasi.

“Dalam menghadapi cabaran dialami  industri tempatan akibat amalan perdagangan tidak adil serta dalam usaha mempertahankan industri tempatan, MITI hanya mengambil masa sembilan bulan untuk menyelesaikan satu kes berbanding 18 bulan bagi siasatan dan keputusan mengikut piawaian dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang dibahaskan oleh 11 ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Sewaktu melakukan bacaan kali kedua, Liew berkata pindaan RUU bagi Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 atau Akta 504 telah digubal dan dikuatkuasakan lebih 30 tahun ini merupakan kerangka perundangan yang digunakan bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap barangan import yang dilambakkan di dalam negara atau barangan import bersubsidi yang membawa kemudaratan ke atas industri tempatan.

Ad Banner

Beliau berkata akta itu dipinda khusus untuk melindungi pengeluar tempatan yang memiliki kilang atau menjalankan aktiviti penambahan nilai di dalam negara.

Namun, perkara seperti individu yang hanya mengimport dan memborong produk dari negara lain seperti China atau Jepun serta berdepan cabaran persaingan daripada platform atau pemborong lain adalah tidak tertakluk di bawah akta ini.

“Tujuan akta ini jelas iaitu melindungi pengeluar tempatan daripada persaingan harga yang tidak adil oleh pengeluar atau pengeksport luar negara,” katanya.

Liew berkata lambakan itu merujuk kepada keadaan apabila sesuatu produk dijual lebih murah di Malaysia berbanding harga di negara asal pengeksport seperti dari China, Jepun, Thailand atau Vietnam.

Bagi tempoh 1995 hingga 2010, Liew berkata Malaysia juga telah melakukan sebanyak 43 tindakan anti-lambakan terhadap pengeksport luar negara dan jumlah tindakan itu meningkat kepada 67 bagi tempoh 2011 hingga 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan