Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengamal Media Rasai Keunikan Tarikan Felda Residence Tanjung Leman

27/08/2025 01:48 PM

MERSING, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 20 pengamal media dari pelbagai agensi di ibu negara berpeluang merasai keunikan perkhidmatan Felda Residence Tanjung Leman (FRTL) di sini menerusi program lawatan media anjuran Felda Investment Corporation (FIC) Hospitality Sdn Bhd.

Ketua Komunikasi Pemasaran Bersepadu FIC Hospitality Sdn Bhd W Nurrul Sarah W Rusdi berkata program itu bertujuan mempromosikan produk pelancongan yang ditawarkan termasuk penginapan, kemudahan dan pelbagai aktiviti di resort itu.

“Tujuan utama lawatan media ini adalah untuk memberikan pengalaman sebenar kepada rakan-rakan media mengenai perjalanan ke sini, aktiviti yang ditawarkan serta perkhidmatan yang disediakan di resort kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

FIC Hospitality Sdn Bhd merupakan anak syarikat Felda yang menguruskan FRTL dan rangkaian Felda Residence di Malaysia. Lawatan tiga hari bermula 25 Ogos itu disertai pengamal media daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Majoriti serta IKIM TV dan Radio.

Nurrul Sarah berkata antara tarikan utama FRTL ialah keindahan pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Kukus dan Pulau Tinggi yang digelar sebagai ‘permata tersembunyi’ yang amat sesuai untuk aktiviti selam snorkel, mendaki dan pakej aktiviti berkumpulan termasuk sukan air dan program pengukuhan berpasukan.

Beliau berkata pelancong boleh ke pulau-pulau berkenaan menggunakan bot yang disediakan pihak resort yang mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.      

Ad Banner

“Pulau-pulau di sekitar Tanjung Leman ini memiliki keunikan tersendiri berbanding destinasi pelancongan lain. Kami mahu orang ramai tahu bahawa kawasan ini menawarkan pengalaman berbeza selain menjadi platform untuk rakan-rakan media berkongsi pengalaman mereka kepada orang ramai mengenai keistimewaan resort ini serta aktiviti menarik yang mungkin tidak ditawarkan di hotel atau resort lain,” katanya.

Nurrul Sarah berkata ramai yang masih belum mengetahui FRTL dengan ada yang menyangka ia untuk warga Felda, sedangkan resort itu sebenarnya terbuka kepada semua pelancong.

Sementara itu, Pengurus FRTL Azlinita Tumin berkata pada mulanya resort itu cuma berfungsi sebagai pusat latihan Felda yang dibuka pada 2010 sebelum diperluas menjadi resort dan destinasi percutian popular untuk keluarga, kumpulan korporat dan penganjuran pelbagai acara.

“Permintaan pasaran semakin meningkat untuk penganjuran hari keluarga, mesyuarat, acara sekolah dan program rekreasi. Jadi, kami kembangkan tawaran pakej dan kemudahan supaya resort ini menjadi pilihan pelancong,” katanya

Beliau berkata resort itu menawarkan 91 bilik penginapan dengan kapasiti 336 katil serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kafe, dewan, karaoke, bilik pawagam mini dan kemudahan aktiviti berkumpulan.

“Selain aktiviti menjelajah pulau dan snorkeling, pakej popular yang lain ialah program barbeku, sukaneka keluarga, serta pakej bulan madu dan ulang tahun perkahwinan,” katanya.

Azlinita berkata, kali terakhir resort itu menganjurkan lawatan media adalah pada 2012 dan program kali ini diharap dapat meningkatkan semula promosi destinasi berkenaan, khususnya kepada pelancong domestik.

FRTL menawarkan pelbagai kemudahan penginapan, pakej pelancongan dan aktiviti riadah untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya ke daerah Mersing yang terkenal sebagai pintu masuk ke pulau-pulau peranginan di Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan