Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Datuk Bandar KL Ambil Positif Dapatan PAC, Fokus Tutup Jurang Tadbir Urus

28/08/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengambil positif dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembangunan tanah di ibu negara bagi menutup jurang tadbir urus serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dalam urusan pemindahan dan pembangunan tanah.

Maimunah berkata laporan setebal 658 muka surat itu membangkitkan 11 isu yang berlaku sebelum beliau memegang jawatan Datuk Bandar setahun lepas, dan ia wajar dijadikan asas kepada reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata pelaksanaan reformasi tadbir urus itu juga merupakan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya.

“Saya telah diminta melakukan reformasi tadbir urus DBKL dan ini KPI yang diberikan Perdana Menteri kepada saya. Laporan ini boleh membantu saya, di manakah kekurangan dan saya tidak perlu buat analisis kerana PAC telah pun melakukannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk “4P Pemacu Pembangunan Kuala Lumpur”, di sini malam tadi.

Beliau berkata dapatan PAC akan dijadikan rujukan dalam membangunkan SOP yang lebih kukuh agar DBKL mempunyai sistem tadbir urus yang padu serta boleh diwarisi kepimpinan selepas ini.

“Saya hendak tinggalkan satu sistem yang padu supaya Datuk Bandar yang akan datang akan melihat kepada sistem itu dan insya-Allah, meneruskannya,” katanya.

Ad Banner

Dalam pada itu, Maimunah berikrar untuk memperkukuh kawalan dalaman susulan laporan PAC yang menegur DBKL berhubung isu pemindahan tanah.

Beliau berkata DBKL mula meneliti semua isu yang dibangkitkan, dengan kronologi terperinci sedang disediakan bagi mengenal pasti kelemahan serta ruang untuk penambahbaikan, termasuk langkah memperkukuh tadbir urus agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada 26 Ogos dilapor mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL meneliti semua syor yang dikemukakan PAC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan