Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin Agama Perlu Bersatu, Main Peranan Pertahankan Keadilan, Kemanusiaan - PM Anwar

28/08/2025 06:12 PM

PETALING JAYA, 28 Ogos (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta para pemimpin agama daripada semua kepercayaan agar memainkan peranan lebih besar dalam mempertahakan keadilan, belas kasihan dan nilai-nilai sejagat di tengah-tengah peningkatan ketidakpercayaan global dan kemerosotan moral.

Anwar ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama kali ke-2 2025 menggesa supaya barisan pemimpin agama bersatu dalam mempertahankan hakikat sebenar kemanusiaan dan kepercayaan.

“Semua pemimpin agama mesti bersatu dan mempertahankan apa itu kemanusiaan dan apa itu kepercayaan. Kita mesti bersatu menentang kuasa-kuasa yang menolak kepercayaan secara keseluruhannya,” katanya.

Anwar turut menyuarakan kebimbangannya terhadap apa yang beliau gambarkan sebagai kemerosotan kepercayaan dan kekurangan pemahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan, kemanusiaan dan nilai-nilai murni.

Beliau berkata banyak pemimpin dunia berbicara tentang demokrasi dan hak asasi manusia, namun gagal untuk mengamalkan nilai-nilai tersebut secara konsisten, terutamanya dalam menangani hubungan dengan negara atau komuniti lain.

“Saya merayu kepada para pemimpin agama untuk memikul tanggungjawab itu, kerana dalam pengalaman saya dalam pentadbiran dan perbualan dengan para pemimpin, saya melihat begitu banyak percanggahan, yang kadangkala saya anggap sebagai hipokrasi yang jelas,” kata beliau.

Ad Banner

Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa pemimpin agama mempunyai tanggungjawab moral untuk menyatukan masyarakat, memupuk rasa hormat dan persefahaman, serta mempertahankan nilai-nilai sejagat dengan keberanian, tanpa gentar terhadap pertimbangan politik.

Mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, Anwar berkata tragedi tersebut mendedahkan kehilangan kejelasan moral dan pengabaian terhadap keadilan oleh masyarakat antarabangsa.

“Setiap hari kita melihat bayi dibunuh, rumah dan orang awam dibom. Mungkin ada suara-suara simpati dan penyelesaian, tetapi apa sebenarnya yang sedang berlaku di dunia ini?

“Di manakah suara hati nurani yang mewakili iman dan nilai moral kita?” soal beliau.

-- LAGI

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar turut menekankan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian melalui keterlibatan dengan semua komuniti, sambil mengakui walaupun tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak, keterlibatan yang inklusif dan berterusan tetap penting.

“Saya berada dalam sebuah negara dengan 60 peratus penduduknya beragama Islam, dan terdapat ramai penganut Kristian, Hindu, Buddha dan juga beberapa ‘musuh’. Kita perlu berurusan, bukan semestinya untuk memuaskan hati semua, kerana itu tidak mudah, tetapi kita mesti lakukannya.

“Setiap dasar perlu dibincangkan, namun yang lebih penting ialah prinsip tadbir urus dan saya belajar daripada penulisan seperti maqasid syariah, yang antaranya mengandungi prinsip melindungi nyawa, harta, maruah dan kehormatan dan ini merangkumi setiap manusia, lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak,” kata beliau.

Anwar turut menjelaskan bahawa walaupun Malaysia menghormati kebebasan bersuara, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang menimbulkan kebencian perkauman atau agama.

“Saya percaya kepada demokrasi dan kebebasan, tetapi saya tetapkan hadnya. Jika anda mencetuskan huru-hara dan menyebarkan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama, kita akan bertindak tegas kerana anda akan merosakkan asas perpaduan negara ini,” katanya.

Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua 2025 itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Islam (MWL).

Turut hadir Setiausaha Agung MWL Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem al-Issa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan