KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Utusan Melayu Plus (Utusan Melayu+), portal berita baharu inisiatif bekas wartawan Utusan Melayu dilancarkan hari ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan dengan fokus kepada berita semasa serta analisis mendalam.
Portal itu bertekad mengangkat semula kewartawanan Utusan Melayu dalam bentuk digital dengan memberi keutamaan kepada penyebaran kandungan melalui platform media sosial utama seperti TikTok, Instagram dan Facebook selaras dengan trend pengguna masa kini.
Utusan Melayu+ diterajui tiga tonggak utama, Zulkiflee Bakar selaku Ketua Pengarang yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan cetak dan digital di Utusan Malaysia, Sinar Harian serta beberapa portal berita.
Beliau dibantu oleh Hisham Idris, yang pernah berkhidmat di Kosmo!, MalaysiaNow dan UtusanTV serta Mohd Nizam Hamzah yang berpengalaman dalam bidang multimedia di Utusan Melayu dan Malaysia Gazette.
Zulkiflee dipetik berkata portal itu menekankan gaya penyampaian yang pantas, dipercayai, segar dan interaktif bagi memenuhi keperluan pembaca masa kini yang cenderung mendapatkan maklumat secara ringkas, visual dan mudah dikongsi.
“Pemilihan tarikh 31 Ogos sebagai hari pelancaran adalah simbolik kepada kemunculan media baharu berjiwa nasionalis,” katanya.
Beroperasi dari Garden City Business Centre, Ampang di sini, Utusan Melayu+ menyasarkan untuk berkembang menjadi antara portal berita digital arus perdana dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Portal itu kini boleh diakses melalui utusanmelayuplus.com dan media sosial utusanmelayu+official (Tik Tok, Instagram dan Facebook).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial