Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Pelajar Malaysia Terlibat Demonstrasi Di Indonesia

02/09/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Tiada pelajar Malaysia terlibat dalam demonstrasi atau rusuhan di beberapa wilayah di Indonesia setakat ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pihaknya melalui pejabat Education Malaysia (EM) di Indonesia sentiasa menjalankan pemantauan rapi dan berterusan dengan kerjasama erat Wisma Putra bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia.

“Kita ada lebih 1,200 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Indonesia. Alhamdulillah, setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan pelajar Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut.

Ad Banner

“Namun kita terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa kerana kesannya bukan hanya di Jakarta, tetapi turut melibatkan kawasan lain di Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry menghadiri pelancaran Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).

Beliau berkata pihak EM juga sentiasa berhubung dengan pelajar untuk memberi maklumat terkini dan menasihatkan mereka agar menjauhi kawasan terlibat dengan rusuhan.

Ad Banner

Pelajar Malaysia di sana, menurut beliau tidak hanya tertumpu di Jakarta tetapi turut berada di kawasan lain seperti Sumatera, Pulau Jawa dan wilayah lain.

Dalam pada itu, Zambry menyatakan keyakinan pemerintah Indonesia akan mengambil segala langkah perlu untuk mengawal dan mengelak situasi itu daripada terus berpanjangan.

“Kita mendoakan agar Indonesia kembali aman dan tenteram kerana kestabilan di sana membawa kebaikan kepada negara jiran termasuk Malaysia,” katanya.

Ribuan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di Jakarta dan beberapa bandar utama sejak minggu lepas bagi menyuarakan tuntutan politik dan ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan