Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Perkukuh Kedudukan Sebagai Pusat Latihan Pengaman Serantau, Antarabangsa - Adly

02/09/2025 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia bukan sahaja bersedia menggerakkan pasukan pengaman ke Palestin malah turut memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam latihan dan pengekalan keamanan peringkat serantau serta antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata keupayaan Malaysia itu merangkumi bukan sahaja penglibatan ketenteraan tetapi juga bidang kemanusiaan, rundingan diplomatik dan latihan pengaman yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata kebolehan negara dalam mengekalkan keamanan selepas konflik merupakan satu kekuatan yang dilihat oleh komuniti antarabangsa, dengan merujuk peranan Malaysia dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja sebelum ini.

Ad Banner

“Malaysia dianggap sebagai pusat latihan serantau PBB bagi rantau ini. Ia bukan sahaja membuktikan kebolehan kita dalam menyediakan anggota berkemahiran tinggi malah menjadikan kita sebagai rujukan dalam konteks latihan pengaman.

“Yang paling penting bukan hanya menyelesaikan konflik, tetapi bagaimana kita mengekalkan keamanan selepasnya. Di sinilah strategi Malaysia perlu digarap dan diperkukuh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu usaha dan cabaran yang dihadapi kerajaan bagi menggesa penghantaran pasukan pengaman PBB ke wilayah Palestin agar genosid yang berlaku dapat dihentikan.

Ad Banner

Adly berkata Pusat Pengaman Malaysia (PPM) tidak hanya melatih anggota tempatan tetapi juga menjadi pusat latihan bagi peserta dari negara ASEAN dan lain-lain, selaras dengan peranan Malaysia dalam mempromosi keamanan serantau.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia mampu menjadi 'kancil diplomasi' di tengah-tengah kuasa besar dunia, menerusi kekuatan rundingan dan diplomasi pertahanan seiring dengan cadangan mewujudkan platform seperti Forum Kemanusiaan Sedunia. 

“Kita mungkin kecil dari sudut ketenteraan tetapi kekuatan kita terletak pada kuasa rundingan yang boleh menjadi model seperti Geneva,” katanya sambil mencadangkan Malaysia mempelopori inisiatif global dalam aspek bantuan kemanusiaan dan perlindungan pasukan bantuan.

Adly turut memaklumkan penyertaan Malaysia dalam misi pengaman bukan hanya bersandarkan kepada konsensus ASEAN, sebaliknya memerlukan dukungan lebih luas termasuk lebih 70 negara yang terlibat dalam sistem Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman (PCRS).

“ASEAN adalah satu ruang diplomatik penting namun kita juga perlu bergerak dalam kerangka antarabangsa untuk memastikan pasukan pengaman kita dapat dihantar ke lokasi yang memerlukan,” katanya yang turut menyentuh sumbangan Malaysia dalam misi bantuan kesihatan dan pembangunan semula Palestin, termasuk kerjasama dua hala dengan Jepun.

Adly menegaskan bahawa Malaysia bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam menjayakan misi keamanan global, termasuk di Palestin dan Gaza sekiranya diberi mandat oleh Majlis Keselamatan PBB.

“Dengan kesiapsiagaan aset dan sumber manusia serta pengiktirafan terhadap pusat latihan kita, Malaysia berada dalam posisi strategik untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam menjaga keamanan dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan