Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SARA: MoF Beri Jaminan Penambahbaikan Sistem Tampung Lonjakan

02/09/2025 06:25 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan penambahbaikan harian akan terus dilakukan bagi memastikan sistem pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu menampung peningkatan jumlah pengguna terutama pada cuti hujung minggu panjang dan menjelang sambutan Hari Malaysia.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata MyKasih telah melaksanakan langkah menambah baik kapasiti sistem serta proses mengesan kerosakan setiap hari untuk mengatasi isu teknikal yang timbul.

“Setiap hari (MyKasih) meningkatkan prestasi sistem dan menyelesaikan masalah yang berbangkit bagi memastikan ia dapat menampung peningkatan bilangan penerima yang membuat pembelian di pasar raya," katanya dalam taklimat media berhubung SARA di sini hari ini.

Ad Banner

Johan berkata apabila sistem MyKasih mula dipasang, kapasiti asas ditetapkan pada 5,000 transaksi seminit dan kini telah ditingkatkan hingga 15,000 transaksi seminit yang diyakini dapat menampung lonjakan pembelian.

"Setiap hari kami menyusun semula sistem dan meningkatkan kapasiti bagi memastikan jumlah transaksi yang tinggi dapat diuruskan. Sistem tidak tergendala, ia sentiasa berfungsi.

"Namun, apabila berlaku peningkatan mendadak, keupayaan pemprosesan menurun dan sebahagian transaksi mengambil masa lebih lama atau gagal disempurnakan," katanya.

Ad Banner

Beliau berkata pada hari pertama SARA bermula iaitu 31 Ogos lepas, sebanyak 895,000 transaksi berjaya diproses manakala pada hari kedua iaitu semalam, jumlah itu meningkat kepada 950,000 transaksi.

"Ini membuktikan sistem masih kukuh walaupun terdapat gangguan di beberapa terminal dan kedai," katanya.

Johan berkata MoF akan terus menambah baik keadaan serta kekal terbuka kepada pelbagai pilihan bagi memastikan sistem benar-benar stabil dan siap siaga terhadap permintaan memuncak pada minggu-minggu akan datang.

Selain itu, beliau berkata beberapa pasar raya turut mencadangkan langkah tambahan antaranya mengehadkan bilangan terminal aktif bagi mengurangkan jumlah transaksi serentak yang masuk ke sistem ketika lonjakan mendadak berlaku.

Johan mengulangi penerima SARA berdepan masalah barisan panjang dan kegagalan transaksi disebabkan olah kapasiti sistem MyKasih yang tidak dapat menampung lonjakan permintaan mendadak dua hari lepas.

Beliau berkata tiada isu pengimbasan MyKad atau terminal dan scanner atau di peringkat pasar raya atau kedai memandangkan semua petugas terlatih menggunakan sistem, malah tiada isu dengan hubungan telekomunikasi atau capaian telco.

"Isunya di peringkat sistem dan server MyKasih dari segi kapasiti transaksi yang dapat diproses," katanya.

Ditanya pelaksanaan bantuan lain selepas SARA, Johan berkata kerajaan akan lebih teliti untuk memastikan apa jua pelaksanaan bakal diperkenalkan dapat menampung keperluan dan memberi ruang yang mencukupi untuk menampung keperluan transaksi.

Johan turut menasihatkan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menebus bantuan memandangkan kredit RM100 sah hingga 31 Dis ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Tanggungjawab Sosial Korporat DIALOG (MyKasih) Jeffrey Gerard Perera berkata Yayasan MyKasih merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah lama berperanan membantu dalam penyaluran bantuan kepada keluarga memerlukan bersama institusi zakat dan kerajaan negeri.

Dari segi model perniagaan, beliau berkata Yayasan MyKasih membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai berasaskan MyKad yang mula beroperasi pada 2009 dengan kerjasama kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).Beliau berkata objektif pada masa itu ialah untuk membangunkan sistem kewangan tanpa tunai menggunakan MyKad sebagai instrumen utama memandangkan semua rakyat Malaysia memilikinya dan dianggap selamat.

Sejak dilaksanakan, penerima program MyKasih berkembang pesat dengan 700,000 penerima SARA pada Januari lepas dan meningkat kepada 5.4 juta penerima pada April 2025 sebelum diperluas kepada 22 juta penerima baru-baru ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan