Daripada Voon Miaw Ping
BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar ekonomi jelas dan projek infrastruktur strategik telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama perniagaan dan pelaburan di rantau ini.
Beliau berkata persekitaran stabil negara telah mewujudkan keyakinan dalam kalangan pelabur antarabangsa, khususnya konglomerat China.
Selain itu, hubungan rapat antara Kuala Lumpur dan Beijing juga merupakan faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat China, kata Anwar.
"Malaysia khususnya sangat stabil. Tetapi apa yang juga penting, kami mempunyai dasar ekonomi yang sangat jelas.
"Kami sentiasa komited untuk membantu memudahkan perniagaan, keutamaan ini telah diberi penekanan utama," kata beliau kepada 120 pemimpin syarikat dan konglomerat China semasa sesi Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersedia untuk memudahkan pengembangan syarikat China di Malaysia.
Beliau berkata Malaysia telah mewujudkan strategi komprehensif dalam sektor pertumbuhan kritikal, termasuk pelan pembangunan semikonduktor, pelan hala tuju kecerdasan buatan (AI) dan pelan induk perindustrian.
Mengenai peralihan tenaga, Perdana Menteri berkata terdapat inisiatif berterusan untuk membangunkan Grid Kuasa ASEAN, menghubungkan Vietnam, Singapura, Sarawak dan Sabah bagi mengukuhkan rangkaian tenaga boleh baharu rantau ini.
Beliau menegaskan tenaga bersih dan alternatif akan kekal sebagai teras kepada dasar ekonomi Malaysia.
Mengenai ketersambungan, Perdana Menteri berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memacu ketersambungan serantau, menjadikannya sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan.
Sistem kereta api itu yang menghubungkan kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, mewujudkan ekosistem bagi industri baharu dan komuniti.
“Disebabkan kejayaan projek itu, kami kini bersetuju dan saya akan berbincang dengan Presiden (Xi Jinping) dan Perdana Menteri (Li Qiang) untuk melanjutkannya ke sempadan Thailand,” kata beliau.
Anwar berkata hubungan kukuh Malaysia dengan China yang kini berada di peringkat Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) akan terus memacu pelaburan, perdagangan dan pembangunan tenaga kerja, yang memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan Perdana Menteri berkata pertemuan bersama pemimpin perniagaan itu menjadi platform untuk mendapatkan pandangan dan berkongsi aspirasi dan visi terkait hal ekonomi dan perniagaan, seterusnya membuka ruang dan peluang untuk potensi pelaburan di Malaysia.
“Dalam ruang ini juga, saya tekankan dasar Kerajaan MADANI yang jelas, melalui dokumen dasar berkaitan peralihan tenaga, semikonduktor dan perindustrian.
“Pastinya Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar untuk menjadikan ekosistem perniagaan di Malaysia lebih kompetitif dan menarik, seterusnya mengangkat reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial